Kamera Aksi AKASO 360 Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM999
Amy Maizuraa
Kamera aksi baharu AKASO 360 dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Dengan rekaan bersaiz poket, ia direka khusus untuk memenuhi keperluan pengguna yang mengutamakan rakaman berkualiti serta kemudahan suntingan secara mudah alih. Di Malaysia, kamera ini ditawarkan dalam dua pilihan pakej iaitu Standard Combo yang berharga RM999 dan Creator Combo pada RM1099.

AKASO 360 mampu merakam video 360 darjah dalam resolusi 5.7K serta gambar pegun 72MP dengan sokongan dwi-sensor 48MP. Melalui teknologi penstrukturan semula video, pengguna boleh merakam terlebih dahulu kemudian memilih sudut rakaman yang diingini. Pengguna turut boleh bertukar rakaman kepada pelbagai format seperti video menegak untuk platform TikTok atau paparan skrin besar tanpa keperluan merakam semula.

Kamera juga dilengkapi dengan sistem pengesanan subjek berasaskan AI membantu dalam memastikan subjek kekal dalam bingkai walaupun sedang bergerak. Bagi rakaman dalam situasi aksi, fungsi Horizon Lock 360 bertindak menstabilkan imej secara menyeluruh. Selain itu, rakaman yang menyerupai sudut pandang dron turut boleh dilakukan sebaiknya dengan kamera ini.

Kamera turut dilengkapi skrin sesentuh bersaiz 2.29-inci yang membolehkan pengguna mengakses kawalan dan tetapan dengan lebih mudah. Melalui aplikasi AKASO 360 yang disediakan, kandungan dirakam boleh disunting dan dikongsikan terus menggunakan telefon pintar tanpa keperluan untuk komputer riba atau peranti tambahan lain.

AKASO 360 tersedia melalui pengedar rasmi seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Turut ditawarkan ialah pakej Standard Combo pada harga promosi RM899 sehingga 31 Ogos 2025. Sementara itu, pengguna yang memilih pakej Creator pula berpeluang menerima jaminan tambahan selama sebulan (1+1 bulan) sekiranya pembelian dibuat sebelum 30 September 2025.
Untuk makluman, AKASO ialah jenama kamera aksi yang dikenali dengan produk pada harga berpatutan. Ia direka untuk memenuhi keperluan pengguna aktif dalam pelbagai aktiviti termasuklah pengembaraan. AKASO turut menawarkan pelbagai model kamera seperti kamera aksi biasa, kamera 360 darjah dan kamera dengan teknologi penglihatan malam.