ChatGPT Study Mode Dilancarkan Untuk Membantu Pelajar Mengulang Kaji
Effi Saharudin
Adakah generasi pelajar semasa berhadapan dengan masa depan yang gelap disebabkan terlalu bergantung dengan ChatGPT? Terdapat beberapa kajian yang mendapati pengguna ChatGPT mencatatkan aktiviti otak yang lebih rendah dan menjadi malas berbanding pengguna Google atau yang menghasilkan esei sendiri. Mungkin menyedari impak negatif produk mereka kepada golongan pelajar, OpenAI hari ini melancarkan ChatGPT Study Mode.

Dalam Study Mode, ChatGPT boleh membantu pelajar melakukan ulang kaji. Langkah berfikir untuk mendapatkan jawapan yang betul boleh dilihat dengan ia tidak terus memberikan jawapan kepada prom soalan yang diberikan seperti kebiasaannya.
Dalam Study Mode pengguna boleh bertanya soalan secara lebih interaktif seakan dengan seorang guru manusia. Sebagai contoh ia boleh memberikan formula fizik yang perlu digunakan untuk menjawab soalan dengan pengguna perlu memberikan jawapan sendiri sebelum pelajaran diteruskan. Arahan memberikan mereka kuiz selepas mengulang kaji juga boleh diberikan kepada ChatGPT.
Dengan ciri ini, OpenAI berharap ChatGPT boleh membantu pengguna belajar dan bukan sekadar disuap seperti haiwan ternakan di ladang. ChatGPT Study Mode boleh digunakan hari ini oleh pemegang akaun Free, Plus, Pro, dan Team. Ia kemudiannya akan dilancarkan untuk pengguna ChatGPT Edu dengan pelan langganan yang lebih mampu milik untuk golongan pelajar.