Photoshop Dikemaskini Dengan Ciri Suntingan Pantas Dengan Bantuan AI
Effi Saharudin
Adobe melancarkan beberapa ciri menarik menarik di Photoshop Beta pagi ini yang akan mempercepatkan proses suntingan gambar yang selama ini mengambil masa yang panjang untuk dilakukan secara manual.

Bermula dengan Harmonize yang akan menghasilkan bayang-bayang, dan pantulan yang realistik apabila elemen baharu ditambah pada gambar asal. Dalam demo yang dikongsi Adobe, pelampung berbentuk bangau diberikan pantulan pada permukaan air kolam dan bayang-bayang yang serasi dengan objek sekeliling.
Seterusnya ialah ciri Remove yang dipertingkatkan lagi menerusi model Firefly terkini. Dengan kemas kini terbaru, proses membuang elemen yang tidak dikehendaki menjadi lebih tepat. Pengguna Remove sudah lam mengeluh algoritma yang digunakan sebelum ini kerap kali menghasilkan imej asal yang nampak aneh.

Akhirnya ciri Generative Upscale diberikan secara terbina dalam Photoshop. Kualiti imej dapat dinaik taraf sehingga 8 megapixel. Saya sendiri secara peribadi terpaksa menggunakan khidmat naik taraf resolusi gambar daripada aplikasi lain sebelum dieksport ke Photoshop. Ini ialah ciri yang sepatutnya telah diberikan jauh lebih awal.
Pengguna juga kini diberikan pilihan menggunakan model Firefly berbeza untuk membantu tugasan menyunting. Dua model yang diberikan pada waktu ini ialah Firfefly 1 dan Firefly 3 sahaja tanpa akses kepada model pihak ketiga. Kesemua ciri-ciri yang diumumkan hari ini boleh diakses menerusi Photoshop Beta di deskstop, web dan iOS.