Samsung Sahkan Akan Mengintegrasi Pelbagai Model AI Bermula Dengan Galaxy S26
Effi Saharudin
Kami laporkan sebelum ini kedengaran ura-ura Samsung akan mengintegrasikan pelbagai model kecerdasan buatan (AI) pada peranti keluaran mereka selain Gemini dan Galaxy AI. Kini dalam temuramah bersama Bloomberg, presiden pengalaman peranti mudah alih Samsung, Won-Joon Choi mengesahkan syarikat sedang berbincang dengan beberapa syarikat AI.

Integrasi pembantu maya AI ke dalam ekosistem Samsung akan dilakukan menerusi siri Galaxy S26 yang akan dilancarkan awal tahun depan. Choi enggan mendedahkan identiti pembantu maya dan ejen AI yang akan diintegrasikan ke dalam peranti mercu ini. Beliau sekadar mengadakan semua model yang disokong kelak perlu kompetitif dan memberikan pengalaman yang baik kepada pengguna.
Sejak NPU berkuasa diperkenalkan pada cip mercu Android, kami telah melihat sendiri model AI seperti Llama, Gemini dan ChatGPT diintegrasikan dalam peranti. Ada yang dijalankan terus daripada peranti dan ada juga secara atas talian. Jika Samsung membenarkan pemilik memilih sendiri model AI yang ingin digunakan, ia adalah langkah bijak kerana mereka boleh mengubahnya mengikut keperluan.
Strategi Samsung ini turut dipercayai akan diambil oleh Apple yang menghadapi kesukaran membangunkan Apple Intelligence sehingga ciri baharu ditangguh ke tahun 2026. Dengan kakitangan penting dipancing oleh Meta serta pelaburan besar perlu dilakukan, integrasi ChatGPT, Gemini atau Perplexity mungkin langkah yang kurang memeningkan kepala Tim Cook.