Johor Meluluskan Pembangunan 42 Buah Pusat Data Pada Suku Kedua Tahun Ini
Nazrin
Pembangunan pusat data di Malaysia kini dilihat semakin rancak, khususnya di lokasi-lokasi seperti Selangor dan Johor dimana permintaan untuk infrastruktur sebegini dilihat semakin meningkat. Terkini, melalui laporan Bernama, kerajaan Johor nampaknya telah meluluskan sebanyak 42 buah pembangunan pusat data pada suku kedua tahun ini sahaja.
Perkara ini disahkan oleh Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, yang mengatakan bahawa pusat-pusat data ini adalah pemandu utama untuk projek Zon Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ), Johor Digital Plan dan juga pelan transformasi ekonomi negeri tersebut.

Kenyataan tersebut dibuat selepas mesyuarat Pasukan Petugas Pembangunan Pusat Data Johor yang juga dipengerusikan bersama-sama oleh Mohamad Fazli Mohamad Salleh, pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor.
Untuk 42 projek pembangunan pusat data ini, sebanyak 7618 ekar tanah industri berstatus terancang telah disediakan, termasuklah ASM Green, Rising Gateway, Iskandar Halal Hub, Kosmo dan Keck Seng di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Mohd Jafni turut mengatakan bahawa jawatankuasa tersebut sedang mempertimbangkan permohonan untuk membina tujuh lagi pusat data di kawasan Greater Johor Bahru sebelum membuat keputusan untuk meluluskannya atau tidak.
Kerajaan Johor dilaporkan juga akan mengehadkan pembangunan pusat data di kawasan-kawasan seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Iskandar Puteri untuk mengurangkan kebarangkalian konflik penbangunan kawasan perumahan baru di lokasi tersebut.
Beliau turut mengatakan bahawa Johor akan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menggunakan teknologi pusat data bertaraf Tier 4 yang menggunakan sistem penyejukan yang menggunakan air kumbahan terawat dalam kerjasama diantara Indah Water Consortium dan Johor Special Water.