Tarif Ke Atas Malaysia Dikurangkan Ke 19% Oleh Amerika Syarikat
Effi Saharudin
Amerika Syarikat merendahkan tarif perdagangan ke atas Malaysia daripada 25% ke 19% pagi ini dengan ia akan berkuat kuasa bermula 1 Ogos. Selain Malaysia, beberapa lagi negara serantau Indonesia, Thailand, Filipina, dan Kemboja turut dikenakan tarif lebih rendah 19%.

Vietnam pula dikenakan 20% sementara Laos kekal dikenakan 40% seperti yang diumumkan sebelum ini. Barangan yang kini dalam transit akan diberikan tempoh pelepasan 7 hari bermula 1 Ogos. Tiada sebab diberikan mengapak tarif dikurangkan ke atas Malaysia. Presiden Trump sebelum ini menggesa syarikat-syarikat Malaysia membuka kilang di Amerika Syarikat sekiranya ingin mengelakkan tarif-tarif yang dikenakan.
Indonesia sebelum ini bersetuju membeli $15 bilion dolar dalam sektor tenaga AS, $4.5 bilion produk pertanian Amerika dan 50 jet buatan Boeing bagi mengelakkan dikenakan tarif 32% yang jauh lebih tinggi. Apakah konsesi yang diberikan oleh Malaysia kepada Amerika Syarikat untuk menerima pengurangan 6% tarif ini besar kemungkinan akan diumumkan oleh Trump atau PMX apabila Presiden Amerika menghadiri persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober depan.