Tim Cook Terbuka Untuk Pengambil-Alihan Dalam Mempercepatkan Pembangunan AI Oleh Apple
Aman
Apple pada hari ini boleh dikatakan ketinggalan dalam pembangunan kecerdasan buatan. Fungsi yang dijanjikan dibawah Apple Intelligence tidak berkunjung tiba, sementara sejumlah pekerja mereka yang terlibat dalam pembangunan kecerdasan buatan telah berpindah ke syarikat pesaing yang lain.

Ini sekaligus membawa kepada pertanyaan orang ramai berkenaan dengan strategi Apple dalam arena kecerdasan buatan ini. Menjawab mengenainya, Tim Cook, CEO Apple mengatakan mereka akan terus membuat pelaburan tinggi dalam teknologi kecerdasan buatan.
Pada masa yang sama, Apple juga sentiasa melihat untuk pengambil-alihan syarikat tanpa mengira saiz yang boleh membantu Apple dalam pembangunan penawaran kecerdasan buatan.
Selain itu, Apple juga kini dalam penstrukturan dan penyusunan semula para pekerja mereka dalam memfokuskan lebih kepada pembangunan ciri kecerdasan buatan. Pada hari ini, Apple menawarkan beberapa ciri yang dibawah “kecerdasan buatan”, selain turut bekerjasama dengan OpenAI dalam menawarkan ciri ChatGPT secara terbina.
Berbeza dengan Apple, Meta dibawah Mark Zuckerberg dilihat memfokuskan sepenuhnya dalam pembangunan penawaran kecerdasan buatan, selain turut melihat ia menjadi teras utama dalam penawaran kaca mata pintar bergerak ke hadapan. Alibaba di China juga turut melakukan perkara sama dengan penawaran kaca mata pintar yang hadir bersama kecerdasan buatan secara terbina. Sebarang kelewatan pembangunan kecerdasan buatan oleh Apple turut dilihat memberikan impak kepada pembangunan produk baharu, serta inovasi baharu melalui produk sedia ada mereka.