Reddit Ingin Menjadi Sebuah Enjin Carian
Aman
Reddit, salah satu laman berbentuk forum yang sedia popular dalam kalangan pengguna seluruh dunia, kini memperlihatkan visi mereka bergerak ke hadapan. Reddit mengatakan kini mereka menjadi salah satu destinasi untuk merujuk dan mendapatkan pelbagai info dan pengetahuan.

Bergerak ke hadapan, mereka ingin memfokuskan lagi kepada ciri carian, dalam usaha menjadikan ia salah satu produk teras. Reddit pada hari ini mengatakan ciri carian digunakan lebih 70 juta pengguna aktif setiap minggu, sementara ciri Reddit Answers – iaitu sokongan carian dikuasakan kecerdasan buatan pula digunakan lebih 6 juta pengguna setiap minggu.
Reddit kini berusia 20 tahun, dan bergantung kepada Google dalam mendapatkan trafik ke laman mereka. Namun, dengan pelbagai perubahan yang dilakukan pada Google, kini Reddit mengambil langkah untuk memfokuskan ciri carian, dan memastikan para pengguna merujuk laman mereka dalam mendapatkan pelbagai informasi dan pengetahuan.
Peralihan ini dijangka dilakukan berperingkat, bermula dengan pengenalan Reddit Answers secara global, selain integrasi Reddit Answers ke dalam sokongan carian teras pada Reddit sendiri.