AOL Menamatkan Perkhidmatan Internet Dial-Up Ikonik Mereka Di Amerika Syarikat September Ini
Nazrin
Percaya atau tidak, negara yang memperkenalkan teknologi internet kepada seluruh dunia, Amerika Syarikat masih lagi menggunakan sambungan internet jalur sempit (dial-up). Terdapat beberapa syarikat yang masih menawarkan perkhidmatan ini untuk mereka yang duduk di kawasan terpencil, tetapi angka pelanggan dilihat cukup rendah sekali.
AOL pengelola rangkaian internet dan pelbagai perkhidmatan atas-talian di Amerika Syarikat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan penawaran internet jalur sempit ini pada penghujung bulan September 2025.

AOL telah menawarkan perkhidmatan internet tersebut sejak 1991, dan untuk 34 tahun telah mengekalkannya apabila dunia telah beralih ke sambungan jalur lebar dan gentian optik yang jauh lebih pantas. Malah, pada hari ini ia dapat dilihat bahawa sambungan internet mudah-alih juga sudah jauh meninggalkan kelajuan internet perlahan tersebut.
Selain daripada menamatkan penawaran sambungan internet tersebut, AOL juga telah mengesahkan bahawa mereka tidak lagi akan menawarkan dua lagi perkhidmatan perisian, iaitu AOL Dialer dan pelayar web AOL Shield, yang dibangunkan khusus untuk memudahkan komputer-komputer usang untuk disambungkan ke rangkaian internet.
Malaysia sudahpun menamatkan penawaran internet jalur sempit 1515 dan lain-lain sejak Oktober 2017 melalui Telekom Malaysia, yang mana penduduk di Malaysia kini semuanya menikmati sambungan internet pantas melalui gentian optik dan rangkaian mudah-alih 4G dan 5G.
[sumber]AOL[/sumber]