China Menyarankan Cip AI NVIDIA H20 Tidak Digunakan Untuk Projek Kerajaan
Effi Saharudin
Perang teknologi antara China dan Amerika Syarikat memasuki satu lagi fasa aneh selepas kerajaan China kini menyarankan syarikat tempatan untuk tidak menggunakan cip kecerdasan buatan (AI) NVIDIA H20 terutamanya untuk projek berkaitan dengan kerajaan menurut laporan Bloomberg.

Notis menyatakan cip NVIDIA H20 perlu dielakkan dalam projek melibatkan berkaitan keselamatan negara oleh firma milik kerajaan serta swasta. Arahan dikeluarkan seminggu selepas NVIDIA mengeluarkan penafian CPU dan GPU AI mereka mempunyai pintu belakang, suis membunuh dan mengandungi perisian hasad membenarkan ia diakses secara rahsia tanpa disedari pemilik perkakasan.
Baru semalam NVIDIA dan AMD dibenarkan pentadbiran Trump untuk kembali menjual cip AI NVIDA H20 dan AMD MI308 kepada China dengan 15% pendapatan jualan akan diserahkan kepada kerajaan Amerika Syarikat. Tindakan ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan beberapa pemain industri melihatnya seperti membayar ufti jika ingin diberikan kebenaran berurusan dengan pelanggan.