Apple Menafikan App Store Pilih Kasih Seperti Didakwa Elon Musk
Effi Saharudin
Semalam Elon Musk mendakwa Apple tidak adil kepada X dan Grok kerana ia tidak dimasukkan ke dalam senarai aplikasi perlu di App Store sehingga mengugut untuk mengheret mereka ke mahkamah. Dakwaan Musk ini adalah sangat serius kerana ia sedikit sebanyak mengatakan Apple melalukan amalan anti persaingan.
Dalam kenyataan yang diberikan kepada Mark Gurman di Bloomberg hari ini, Apple menyangkal dakwaan Musk. Apple berkata,
“App Store direka bentuk untuk bersikap adil dan bebas daripada berat sebelah. Kami menampilkan beribu-ribu aplikasi melalui carta, pengesyorkan algoritma dan senarai susun atur yang dipilih oleh pakar menggunakan kriteria objektif. Matlamat kami adalah untuk menawarkan penemuan selamat untuk pengguna dan peluang berharga untuk pembangun, bekerjasama dengan ramai untuk meningkatkan keterlibatan aplikasi dalam kategori yang berkembang pesat”
Dalam waktu yang sama pertelingkahan Elon Musk dengan OpenAI menjadi semakin hangat semalam selepas beliau dan Sam Altman berperang mulut pula di X. Altman mengatakan dakwaan Musk tidak masuk akal kerana aplikasi DeepSeek berjaya memintas ChatGPT di carta App Store selepas dilancarkan tahun ini. Pada waktu yang sama Altman berkata Musk sendiri dibuktikan memanipulasi algoritma Twitter untuk menjadikan ciapan beliau lebih popular.

Berang dengan ciapan Altman, Musk menuduh CEO OpenAI berbohong kerana ciapan yang memulakan perang mulut ini mencapai 3 juta pengguna X sedangkan jumlah pengikut Musk adalah 50 kali lebih tinggi. Altman kemudian membakar Musk dengan mengatakan beliau gagal kerana “tidak cukup kepakaran” dan memerlukan bot untuk meningkatkan jumlah pengikut. Ketika laporan ini ditulis, Musk masih belum memberikan ciapan balas mungkin kerana terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerana melecur teruk.