Siri Redmi Note 15 Pro Bakal Dilancarkan Pada 21 Ogos 2025
Amy Maizuraa
Redmi secara rasmi mengumumkan bahawa siri Redmi Note 15 akan dilancarkan pada 21 Ogos 2025 dalam satu acara khas di China. Setakat ini, hanya model Redmi Note 15 Pro+ yang disahkan akan diperkenalkan pada tarikh tersebut. Namun besar kemungkinan model Redmi Note 15 dan Note 15 Pro turut akan diumumkan pada hari yang sama.

Reka bentuk peranti telah diperlihatkan dengan konsep yang menyerupai Redmi Note 14 Pro termasuk bonggol kamera segi empat dengan susunan sensor 2×2 yang seimbang. Redmi turut menyatakan bahawa peranti ini menjadi model pertama mereka yang menggunakan reka bentuk melengkung mikro simetri di bahagian hadapan dan belakang. Ia bertujuan untuk memberi penampilan lebih moden serta rasa selesa ketika digenggam.

Menurut Redmi, rekaan ini memerlukan teknik pemprosesan kaca yang canggih serta pelaburan besar di mana menjadikannya ciri yang kebiasaan hanya terdapat pada segmen peranti mercu. Redmi Note 15 Pro+ juga akan menggunakan Crystal Glass Xiaomi di bahagian hadapan untuk perlindungan skrin yang lebih baik. Sementara itu, bahagian belakang pula diperbuat daripada gentian kaca ringan yang tahan lentuan dan hentakan.
Walaupun spesifikasi teknikal belum didedahkan secara rasmi, khabar angin menyatakan bahawa peranti ini mungkin hadir dengan paparan OLED melengkung beresolusi 1.5K, kamera utama 50MP dan bateri 7000mAh.
[sumber] Weibo [/sumber]