CelcomDigi : Pengguna Kini Menggunakan Secara Purata 38GB Data Sebulan
Aman
CelcomDigi kini telah mengeluarkan penyata suku tahunan terbaru, sekaligus memperlihatkan peningkatan penggunaan data oleh para pengguna. Mengikut data terkini, secara purata setiap pengguna menggunakan data sebanyak 38GB setiap bulan.

CelcomDigi kini mempunyai 20.4 juta pelanggan aktif secara keseluruhan dibawah mereka termasuk yang menggunakan talian Celcom, Digi dan CelcomDigi. Dari angka tersebut, 5.95 juta pelanggan adalah pelanggan pascabayar, dan 12.57 juta pelanggan adalah pelanggan prabayar. Tidak setakat itu, CelcomDigi juga kini mempunyai seramai 236,000 pelanggan jalur lebar talian tetap, melalui penawaran pelan CelcomDigi One dan lain-lain.
Setakat penghujung Jun 2025 yang lepas, integrasi rangkaian CelcomDigi telah mencapai 84%. Selain rangkaian, CelcomDigi turut telah melaksanakan transformasi pada peruncitan mereka, dengan sekitar 60 kedai konsep digital yang telah beroperasi setakat hari ini. CelcomDigi turut mengatakan mereka turut telah mengintegrasikan penggunaan kecerdasan buatan dalam operasi dan perkhidmatan mereka.
Bergerak kehadapan, CelcomDigi dijangka memperkenalkan aplikasi baharu mereka kepada semua tidak lama lagi.