Seagate Dan KPDN Bekerjasama Untuk Menumpaskan Sindiket Penjualan Semula Cakera Keras
Nazrin
Kebelakangan ini, ia dapat dilihat bahawa terdapat banyak insiden dimana pelanggan-pelanggan membeli produk dari gedung atas-talian, tetapi telah ditipu apabila membeli produk-produk ini pada harga yang jauh lebih murah berbanding dengan asalnya.
Insiden-insiden sebegini dilihat berlaku bukan sahaja di pasaran tempatan, malah dilihat sebagai satu masalah global yang membelenggu ramai pembeli yang menyangka bahawa mereka telah mendapatkan tawaran yang baik.

Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa syarikat pengeluar komponen storan terkemuka, Seagate telah bekerjasama dengan pihak kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk membongkar sindiket penjualan semula storan yang sedang berlaku di negara ini.
Pihak Seagate, menerusi pasukan keselamatan mereka yang beroperasi di Malaysia dan Singapura telah menemui satu lokasi di luar Kuala Lumpur yang dilihat telah “mengitar-semula” cakera-cakera keras yang sebelum ini digunakan untuk melombong kriptowang “Chia” yang berasal dari China.
Cakera-cakera keras ini didapati telah digunakan untuk aktiviti pelombongan tersebut, dan selepas ia tidak lagi memberi keuntungan yang banyak, ia telah dihantar ke Malaysia untuk diset semula dan dijual pada harga yang lebih murah dari pasaran. Isunya disini ialah cakera-cakera keras ini dipasarkan sebagai cakera keras baru dan belum pernah digunakan, tetapi ternyata apa yang telah berlaku ialah ia hanya diset semula, dan data SMART (Self-Monitoring, Analysis and Reporting Technology) telah dipadamkan.
SMART secara lazimnya akan merakam jumlah penggunaan sesebuah cakera keras untuk menentukan tahap “kesihatan” sesebuah storan itu, walaupun data terkandung sudahpun dipadamkan.
Selain daripada cakera keras daripada Seagate, komponen storan daripada jenama-jenama lain seperti Toshiba dan Western Digital juga telah ditemui. Dan lebih mengeruhkan keadaan lagi, mereka juga telah mendapati bahawa terdapat storan-storan yang telah dilabelkan sebagai jenis storan yang lebih mahal untuk dijual.

Seperti contohnya, sebuah cakera keras komputer biasa telah dilabelkan sebagai kegunaan untuk storan digital lain seperti storan NAS ataupun untuk tujuan pengawasan, yang secara lazimnya dijual pada harga yang lebih mahal.
Walaupun lokasi operasi sindiket “penyegaran semula” storan-storan digital ini telah ditemui, pihak keselamatan Seagate dan juga KPDN masih sedang mencari dalang disebalik sindiket ini, kerana semua pekerja yang ditangkap merupakan orang bawahan sahaja.
Untuk mengatasi masalah penjualan-semula storan ini, Seagate dilaporkan juga telah mengemaskini program rakan kongsi mereka untuk memastikan bahawa pelanggan-pelanggan Seagate hanya membeli storan daripada pengedar dan penjual bertauliah yang disahkan oleh Seagate sendiri.
[sumber]Heise.de, Lowyat.Net[/sumber]