CEO OpenAI Mengatakan Pasaran AI Kini Dalam Gelembung
Aman
Saban hari kebelakangan ini kita mendengar berkenaan pelbagai syarikat dan firma berasaskan kecerdasan buatan menerima pelaburan ratusan juta, selain bakat-bakat dan pekerja dalam bidang tersebut juga menerima gaji yang tinggi. Menyentuh mengenainya, kini CEO OpenAI, Sam Altman mengatakan pasaran kecerdasan buatan kini berdalam dalam gelembung.
Menurut beliau, pelbagai pelabur terlebih teruja dengan pasaran kecerdasan buatan, membawa kepada pelaburan yang tinggi supaya tidak ketinggalan berbanding pelabur-pelabur lain. Situasi ini dibandingkan dengan geleumbung dot-com pada era awal 2000-an, yang membawa kepada pasaran jatuh mendadak, dan pelbagai pelaburan hangus.

Pasaran biasanya dikatakan dalam gelembung apabila sesuatu aset dinilaikan secara lebih tinggi berbanding biasa, dan tidak mengikut kiraan asas. Kebiasaannya, situasi ini akan membawa kepada gelembung berkenaan “meletus”, dan pasaran kembali semula kepada asal, selari nilai aset sebenar.
Pada hari ini, pelbagai syarikat memfokuskan kecerdasan buatan masih dalam kerugian, termasuk OpenAI dengan ChatGPT yang dijangka menjana pendapatan sebanyak $20 bilion, tetapi masih dalam fasa kerugian. Ini berbeza dengan beberapa syarikat seperti Google dan Facebook yang melakukan pelaburan, dan pendapatan utama masih dijana melalui produk pengiklanan mereka yang lain. Beberapa syarikat juga kadang-kala membuat pembidaan untuk membeli produk lain, walaupun nilai syarikat mereka jauh lebih rendah – sebagai contoh Perplexity yang membida untuk membeli Google Chrome.
[sumber]TheVerge[/sumber]