Intel Menerima $2 Bilion Pelaburan Softbank dan Amerika Pula Ingin Memegang 10% Saham
Effi Saharudin
Nasib Intel terumbang ambing sejak lima tahun kebelakangan ini sehingga memaksa CEO dipecat dan digantikan dengan Lip Bu Tan, anak kelahiran Johor. Pelbagai langkah penstabilan semula syarikat dilakukan oleh Tan tetapi kesemuanya kembali goyah selepas Presiden Trump menggesa beliau dipecat. Tetapi masa depan Intel nampak semakin cerah minggu ini berikutan pelaburan $2 bilion yang diterima daripada Softbank.

Pelaburan Softbank ke dalam Intel adalah dalam bentuk pembelian stok syarikat. Dengan ini Intel dan Softbank akan meningkatkan komitmen mereka untuk melabur dalam teknologi serta inovasi semikonduktor di Amerika Syarikat.
Pengumuman ini menimbulkan semula harapan kerjasama Intel dan Softbank untuk membangunkan cip AI bagi bersaing dengan NVIDIA akan diteruskan kembali. Setahun lalu projek cip AI ini dibatalkan kerana lntel gagal untuk mencapai tahap kelajuan dan keupayaan pengeluaran untuk cip berkenaan.
Sementara itu menurut laporan Bloomberg, kerajaan Amerika Syarikat ingin memegang 10% saham Intel. Dana yang diterima Intel menerusi akta CHIPS tahun lalu akan diubah menjadi ekuiti saham syarikat.
Minggu lalu muncul laporan langkah ini akan diambil Amerika Syarikat untuk mengembalikan kuasa pengilangan teknologi tinggi ke dalam negara pada waktu yang sama meningkatkan sekuriti di masa hadapan. Trump yang pada awalnya berkeras Lip Bu Tan perlu meletakkan jawatan berubah fikiran dan terbuka kepada perbincangan dengan Intel selepas melakukan pertemuan di White House.