Cip Qualcomm Snapdragon 7s Gen 4 Dilancarkan
Effi Saharudin
Qualcomm melancarkan cip Snapdragon 7s Gen 4 dengan ia sebuah cip kelas pertengahan yang dinaiktaraf daripada Snapdragon 7s Gen 3 yang dilancarkan tahun lalu. Ia hadir dengan lapan teras CPU menggunakan konfigurasi 1+3+4 serta teknologi 4nm.

Ia terdiri daripada 1x Cortex-A720 2.7GHz, 3x Cortex-A720 2.4GHz dan 4x Cortex-A520 1.8GHz yang dipadankan dengan GPU Adreno yang juga dipertingkatkan namun tidak pula didedahkan identitinya. Besar kemungkinan Adreno 810 yang ditingkatkan kelajuannya. Perbezaan prestasi ialah 7% pada CPU dan 7% juga pada GPU berbanding Snapdragon 7s Gen 3.
Cip menyokong skrin dengan resolusi 1,300 x 2,900p pixel sehingga 144Hz, ISP Spectra yang ditambah baik, sokongan kamera sehingga 200MP dan rakaman video 4K 30FPS dengan Hybrid Log Gamma (HLG), HDR10, dan HDR10+.
Spesifikasi lain ialah NPU boleh memproses LLM Llama 1B dan Qwen 1B secara terbina, sokongan memori LPDDR5 RAM dan storan UFS 3.1. Tiada maklumat mengenai peranti pertama yang akan menggunakan cip ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.