Google Akhirnya Membawa Masuk Telefon Boleh-Lipat Ke Malaysia – Pixel 10 Pro Fold Berharga RM7999
Aman
Bersama-sama pengenalan siri telefon pintar terbaru Pixel 10, Google turut mengemaskini penawaran telefon boleh-lipat mereka melalui pengenalan Google Pixel 10 Pro Fold. Apa yang menariknya kali ini adalah Google akan menawarkan telefon pintar ini di pasaran Malaysia, sekaligus menjadikan ia telefon boleh-lipat pertama Google untuk pasaran tempatan.
Google Pixel 10 Pro Fold hadir dengan skrin luaran 6.4-inci OLED, dan membuka menjadi skrin sebesar 8-inci OLED di dalam. Seperti siri Pixel 10 lain, ia turut dijana dengan cip Tensor G5 dan hadir dengan Gemini Nano terbina. Pixel 10 Pro Fold menggunakan memori 16GB RAM, serta bateri bersaiz 5015mAh.

Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan kamera belakang tri-kamera dengan sensor utama 48-megapixel sudut lebar, sensor telefoto dan juga sensor ultra-lebar. Sebuah ciri rakaman baharu disertakan dinamakan Instant View, membolehkan anda melihat gambar serta-merta apabila telefon dibuka. Ini merupakan penambahan baharu kepada ciri lain seperti Dual Screen Preview dan Tabletop Mode.
Menggunakan telefon boleh-lipat juga, dengan skrin besar, ia membolehkan anda menggunakan dua aplikasi secara bersebelahan dengan mudah, selain pengalaman serba baru dalam bermain permainan video. Telefon boleh-lipat ini juga hadir dengan sokongan kalis air dan debu. Selain itu, ini juga adalah telefon boleh-lipat pertama dengan sokongan pengecasan nirwayar Qi2.

Di Malaysia, Google Pixel 10 Pro Fold boleh dipratempah bermula hari ini pada harga RM7999, dan akan dipasarkan bermula 9 Oktober 2025 kelak.