Acer Swift 16 AI Ialah Komputer Riba Pertama Yang Dikuasakan Oleh Cip Pemprosesan Intel Panther Lake
Nazrin
Pada pertengahan tahun ini, Acer telah memperlihatkan sebuah komputer riba yang dimuatkan dengan cip pemprosesan akan datang oleh Intel, iaitu Panther Lake didalamnya, dan memperlihatkan komputer riba ini didalam sebuah kotak kaca untuk mengelakkan daripada sesiapa menyentuhnya.

Sewaktu acara next@Acer di Berlin, Acer dan Intel telah membuat sedikit pengumuman berkenaan komputer riba tersebut, dan Jason Chen, pengerusi dan CEO Acer telah memperkenalkan Acer Swift 16 AI, yang kini disahkan adalah komputer riba pertama yang akan dikuasakan oleh cip pemprosesan tersebut.

Seperti yang kita tahu setakat ini, cip pemprosesan Intel Panther Lake dibangunkan dan dikilang menggunakan proses 18A oleh Intel bersama-sama dengan teknologi RibbonFET mereka untuk memperlihatkan teras-teras baharu, sokongan grafik yang lebih berkuasa yang juga menjanjikan jangkahayat bateri yang panjang.


Komputer riba ini dilihat sesuai untuk pelbagai jenis kegunaan, khususnya oleh mereka yang bekerja untuk membangunkan teknologi-teknologi AI ataupun menggunakannya dengan mendalam. Cip pemprosesan Panther Lake dilihat akan hadir bukan sahaja dengan keupayaan pemprosesan tugasan AI yang lebih hebat, tetapi juga penggunaan kuasa yang lebih cekap untuk pelbagai jenis tugasan.

Jason Chen mengatakan bahawa butiran lanjut mengenai komputer riba ini akan diperlihatkan tidak lama lagi, tetapi apa yang diberitahu setakat ini ialah komputer riba ini akan hadir dengan pad sesentuh yang sangat besar, paparan skrin OLED 16 inci dan juga rangka yang diperbuat daripada aloi magnesium dan mempunyai berat keseluruhan peranti lebih ringan dari 1kg.