Pampasan $1.5 Bilion Anthropic Untuk Menyelesaikan Kes Cetak Rompak Ditolak Mahkamah
Effi Saharudin
Hujung minggu lalu Anthropic mengumumkan mereka telah menyelesaikan kes saman kumpul dengan penulis yang karya mereka telah dicetak rompak bagi melatih model kecerdasan buatan (AI). Pampasan $1.5 bilion akan dibayar untuk lebih 500,000 karya yang didapati telah dicetak rompak tanpa kebenaran pemilik harta intelek.

Namun begitu hakim William Alsup daripada California telah menolak penyelesaian yang dipersetujui ini kerana risau penulis-penulis yang terkesan kini terpaksa menerima pampasan hanya $3000 untuk setiap buku yang dicetak rompak. Ini dilihat sebagai tidak adil dengan senarai lengkap karya-karya serta penulis-penulis menjadi mangsa cetak rompak belum diberikan.
Alsup turut meminta supaya peguam memberikan notis kepada ahli saman kumpul tentang penyelesaian yang dipersetujui dan menghasilkan borang untuk menerima pampasan itu ataupun tidak. Penulis juga perlu bersetuju tidak akan menyaman Anthropic di masa hadapan.
Sebelum ini Alsup mendapati Anthropic tidak bersalah melanggar harta intelek penulis apabila menggunakan karya mereka untuk melatih AI kerana ia dikira sebagai penggunaan yang munasabah (fair use). Anthropic hanya bersalah menyimpan 7,000,000 buku yang dicetak rompak dalam sebuah pustaka pusat dengan tiada semuanya digunakan untuk melatih model AI