Instax Mini LiPlay+ Dilancarkan Dengan Ciri Audio Baharu
Amy Maizuraa
Instax Mini LiPlay+ dilancarkan sebagai kamera hibrid yang menggabungkan fungsi kamera segera dengan pencetak terbina. Ia dilengkapi dengan dua kamera iaitu satu di bahagian belakang sebagai kamera utama dan satu lagi sudut lebar di hadapan untuk swafoto.

Kamera ini turut menyokong mod Layered Photo yang membolehkan pengguna menggabungkan imej dari kamera hadapan dan belakang dalam satu cetakan. Ia juga dilengkapi dengan sambungan Bluetooth untuk dihubungkan dengan aplikasi telefon pintar.

Ini membolehkan pengguna mengawal kamera ini dari jauh, mencetak gambar daripada telefon dan menyesuaikan imej mengikut keperluan. Selain itu, ciri audio baharu diperkenalkan melalui teknologi Instax Sound Print dan Instax Sound Album yang membolehkan rakaman bunyi disertakan bersama gambar yang dicetak.

Instax Mini LiPlay+ hadir dengan pilihan mod penggambaran seperti Rich, Natural dan pelbagai penapis menarik lain. Ia juga dilengkapi dengan fungsi pemasa kendiri yang boleh ditetapkan sehingga 10 saat. Kamera ini serasi digunakan dengan semua jenis filem Instax mini yang tersedia di pasaran.

Instax Mini LiPlay+ akan mula dijual pada harga £189.99 (~RM1072) namun buat masa ini belum ada maklumat lanjut mengenai penawarannya di Malaysia. Sarung pelindung khusus ditawarkan secara berasingan pada harga £29.99 (~RM170). Pada masa sama, filem Instax mini soft Glitter baharu turut dilancarkan dengan harga cadangan £8.99 (~RM51) untuk setiap pek yang mengandungi 10 keping filem.
[sumber] FUJIFILM [/sumber]