Realme GT8 dan GT8 Pro Kini Rasmi – Kamera Ricoh Dengan Bonggol Boleh Ditanggalkan
Amy Maizuraa
Realme telah melancarkan telefon mercu terbarunya realme GT 8 dan realme GT 8 Pro di China sebentar tadi.

Kedua-dua model hadir dengan rekaan baharu termasuk bonggol kamera boleh ditanggalkan dan diubah suai mengikut kesesuaian. Ia juga merupakan peranti pertama Realme yang menampilkan kerjasama dengan Ricoh untuk teknologi kameranya.
Bahagian paling menarik ialah rekaan yang digelar oleh Realme sebagai ‘New Mechanical Assembly Design’. Ia membolehkan bonggol kamera ini ditanggalkan dan diganti dengan pelbagai rekaan lain.

Antara pilihan tersedia termasuk Functional Robot dengan skru berbentuk bintang, Classic Round Deco dengan kemasan bulat, Square Deco yang menggunakan panel logam dan Transparent Rubik’s Cube yang menyerupai robot memakai topi keledar.

Realme GT8 Pro hadir dengan skrin rata 6.79″ 2K Sky Dome OLED yang menyokong kadar segar semula 144Hz.
Ia menggunakan teknologi Q10 + BOE Custom Luminous Materials dengan kecerahan sehingga 7000 nits (puncak), 2000 nits (global), 1000 nits (manual) dan 4000 nits (di bawah cahaya matahari) untuk paparan warna yang lebih realistik.
Peranti ini dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 1TB UFS 4.1.

Realme GT8 Pro dilengkapi sistem penyejukan Ultra-Coverage Cold Front Cooling VC 7000mm² yang terbesar pernah digunakan oleh Realme setakat ini untuk pengaliran haba lebih baik.
Ia turut disertakan cip grafik R1 yang menyokong lebih 100 permainan dengan kualiti imej tinggi dan penggunaan kuasa rendah.
Selain itu, ia dilengkapi motor getaran AAC Ultra-Wideband Pulse Motor dengan teknologi ESA generasi ketiga untuk getaran 4D lebih realistik semasa bermain permua.

Sistem kamera peranti terdiri daripada kamera utama 50MP Ricoh anti-silau dengan sensor 1/1.56″ OIS, ultra-lebar 50MP serta periskop telefoto 200MP Samsung HP5 dengan 3x zum optikal dan sehingga 120x zum hibrid.
Ini merupakan peranti pertama Realme dengan kamera Ricoh yang juga menawarkan ciri tambahan seperti True 200MP Mode, 8K Ultra-HD Photo dan telefoto jarak dekat 25cm. Kamera hadapan pula beresolusi 32MP.

Peranti ini dilengkapi bateri 7000mAh dengan pengecasan pantas 100W dan nirwayar 50W. Ciri tambahan lain termasuk pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin, sensor inframerah, pembesar suara stereo serta ketahanan IP66, IP68 dan IP69.

Realme GT8 turut berkongsi banyak spesifikasi dengan model Pro termasuk skrin 6.79″ 2K+ OLED (1440 x 3136 piksel) dengan kecerahan maksimum 7000 nits. Ia dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan 1TB.
Sistem kamera terdiri daripada kamera utama 50MP Ricoh GR anti-silau dengan OIS, ultra-lebar 8MP serta periskop telefoto 50MP dengan zum optikal 3x dan zum hibrid 120x. Kamera swafoto beresolusi 16MP. Peranti juga dilengkapi bateri 7000mAh dengan pengecasan pantas 100W namun tidak menyokong pengecasan nirwayar.
Harga jualan adalah seperti di bawah.
- Realme GT8 (12/256GB) – RMB 2899 (~RM 1722)
- Realme GT8 (12/512GB) – RMB 3399 (~RM 2018)
- Realme GT8 (16/256GB) – RMB 3199 (~RM 1900)
- Realme GT8 (16/512GB) – RMB 3599 (~RM 2137)
- Realme GT8 (16/1000GB) – RMB 4099 (~RM 2434)
- Realme GT8 Pro (12/256GB) – RMB 3999 (~RM 2375)
- Realme GT8 Pro (12/512GB) – RMB 4499 (~RM 2672)
- Realme GT8 Pro (16/256GB) – RMB 4299 (~RM 2553)
- Realme GT8 Pro (16/512GB) – RMB 4699 (~RM 2790)
- Realme GT8 Pro (16/1000GB) – RMB 5199 (~RM 3087)