Samsung Galaxy XR Kini Rasmi Dengan Sistem Operasi Android XR
Effi Saharudin
Set kepala realiti terimbuh (XR) Samsung Galaxy XR dilancarkan secara rasmi pagi ini dengan sistem operasi Android XR. Ini ialah projek yang diumumkan sebagai Project Moohan lebih setahun lalu dengan ia dilihat sebagai pencabar kepada Apple Vision Pro.

Pertama sekali bahagian hadapan Galaxy XR dilengkapi enam kamera dengan dua untuk mod tembus dan empat lagi untuk melihat keadaan sekeliling. Ini membolehkan mod tembus digunakan serta menjejak pergerakan tangan pemakai. Dua kamera diletakkan di bahagian bawah dengan kedua-duanya digunakan untuk menjejak dua tangan apabila ia tidak dapat dilihat oleh kamera hadapan. Di hadapan juga terdapat satu sensor menjejak kedalaman di bahagian dahi. Turut disertakan ialah lima sensor Inertial Measurement Units (IMU) untuk mengesan pergerakan.


Terdapat empat lagi sensor di bahagian dalam untuk melakukan penjejakan mata pemakai. Ini meletakkan kemampuan Galaxy XR sama seperti Vision Pro. Satu lagi persamaan ialah set kepala menyokong lensa diopter untuk pengguna yang rabun. Dengan ini Galaxy XR boleh digunakan tanpa perlu memakai cermin mata sehingga menyebabkan ia menjadi kurang selesa.

Tiada skrin sekunder di luar tetapi pada tangkai kanan terdapat pad sesentuh untuk kawalan gestur sementara butang pelancar untuk aplikasi dan butang laras audio. Pada tangkai kiri terdapat sambungan kepada pek kuasa yang sama seperti di Vision Pro. Dua lubang penyejukan diletakkan di bahagian atas dan empat pula di bahagian bawah.

Bahagian muka terdapat span yang menghalang cahaya dan menjadikan pemakaian lebih selesa. Di bahagian belakang pula diletakkan tombol berputar untuk mengetatkannya kepada kepala. Mekanisme pengetat ini mirip dengan yang digunakan pada PlayStation VR2. Walaupun boleh mengesan pergerakan tangan, Galaxy XR akan ditawarkan dengan dua alat kawalan fizikal khusus untuk permainan video.

Pelbagai permainan disokong dan yang menjadi tumpuan utama ialah sokongan Google Gemini. Antara demo yang diperlihatkan ialah Gemini boleh mengubah gambar 2D menjadi video 3D spatial yang bergerak. Gambar dengan maklumat kedalaman juga boleh dilihat dalam ruangan 3D spatial. Kerana

Android XR ialah sistem operasi baharu, pemilik Galaxy XR hanya perlu melihat label “Made for XR” untuk mencari aplikasi yang dibangunkan khusus untuk set kepala ini. Antara aplikasi yang sudah menyokong Android XR ialah Netflix dan YouTube. Menerusi PC Link pula, kandungan daripada sebuah PC seperti permainan video boleh dipaparkan di dalam Galaxy XR.
Seperti di Vision Pro, Galaxy XR juga mempunyai ciri panggilan video dengan avatar maya. Pengguna Galaxy XR boleh menggunakan avatar maya yang kelihatan realistik yang diberi nama Likeness atau menggunakan Galaxy Avatar yang sudah disokong pada peranti Samsung sejak beberapa tahun yang lalu. Likeness dan Galaxy Avatar akan mengikut mimik muka dan pergerakan tangan pengguna secara masa nyata.

Dari segi spesifikasi pula, Galaxy XR dilengkapi skrin 4K Micro-OLED dengan kadar segar semula sehingga 90Hz, dikuasakan oleh cip Snapdragon XR2+ Gen 2, memori 16GB RAM, storan 256GB, dan bateri yang boleh bertahan sehingga 2.5 jam dengan sekali caj.


Pek bateri dipasang menggunakan kabel dengan terdapat sambung pada bahagian kiri kepala. Berat set kepala sahaja ialah 545g dengan pek bateri pula seberat 302g. Samsung Galaxy XR dijual pada harga $1,799.99 (~RM 7613) untuk sat set bermula hari ini tetapi hanya di Amerika Syarikat dan Korea Selatan sahaja pada waktu ini.
