OnePlus 15 Kini Di Malaysia Pada Harga RM4399 – Hadir Bersama Snapdragon 8 Elite Gen 5, Bateri 7300mAh
Aman
OnePlus hari ini secara rasminya telah memperkenalkan OnePlus 15 untuk pasaran global, termasuk Malaysia, sekaligus membuka jualannya untuk pasaran tempatan. Di Malaysia, model 16GB RAM bersama 512GB storan ditawarkan pada harga RM4399.

OnePlus 15 hadir bersama skrin 6.78-inci AMOLED dengan kadar segar semula mencapai 165Hz – menjadikan ia antara pertama di dunia dengan sokongan panel seumpamanya pada telefon pintar. Panel skrin berkenaan turut menyokong sistem Dolby Vision dan HDR10+ secara serentak. Pengimbas cap jari juga terbina di bawah skrin.
Menguasakan telefon pintar ini adalah cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, dipadankan dengan memori sehingga 16GB LPDDR5X RAM, storan sehingga 1TB UFS 4.1 dan bateri 7300mAh dengan pengecasan pantas 120W SuperVOOC serta 50W menggunakan AirVOOC. Pengecas ini walau bagaimanapun tidak disertakan dalam kotak dengan setiap pembelian.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dengan OIS, lensa ultra lebar 50MP dan lensa telefoto zum 3.5X 50MP dengan OIS. Di hadapan pula sensor 32MP digunakan untuk kamera swafoto. Peranti tidak lagi mempunyai sistem kamera Hasselblad seperti model terdahulu.

OnePlus 15 juga menawarkan sokongan kalis air dan debu IP69K, selain menyertakan sokongan Bluetooth 6.0, WiFi 7, dan juga NFC. Pada bahagian tepi peranti, terdapat Plus Key yang digunakan untuk melancarkan pelbagai aplikasi serta ciri yang boleh ditetapkan oleh pemilik. OnePlus 15 menggunakan pelancar OxygenOS 16 berasakan Android 16.
Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkan OnePlus 15 ini melalui laman rasmi Oppo Malaysia pada harga RM4399. Pembelian terawal turut ditawarkan dengan Oppo Enco Buds 3 dan juga kerangka luaran OnePlus 15.
