Lenovo Mula Mengumpul Inventori RAM Bagi Mengelakkan Kenaikan Harga
Effi Saharudin
Harga RAM dan storan naik mendadak sejak tiga bulan kebelakangan ini kerana permintaan yang tinggi untuk modul NAND bagi keperluan pusat data. Xiaomi dan Samsung sudahpun memberikan amaran produk mereka tidak boleh mengelakkan kenaikan harga dalam masa terdekat. Di Lenovo, mereka mula mengumpul inventori RAM bagi mengelakkan ini daripada berlaku.

Menurut Bloomberg, Lenovo sudah mengumpul inventori memori dan beberapa komponen lain supaya ia mencukupi bagi menampung keperluan pengeluaran sepanjang 2026. Inventori memori sahaja pada ketika ini adalah 50% lebih tinggi daripada biasa.
Penganalisa meramalkan kenaikan harga memori dan storan akan berterusan sehingga 2027 dipacu oleh permintaan pusat data yang masih belum menunjukkan akan berkurangan. Pusat data, khususnya yang melibatkan AI sedang dibina seperti cendawan tumbuh selepas hujan bagi memenuhi keperluan kuasa perkomputeran.
Impak AI kini tidak lagi terhad kepada penggunaan air yang tinggi seperti di Johor malah memaksa stesen janakuasa nuklear dibina di Amerika Syarikat. Kini harga semua peranti yang memerlukan RAM dan memori akan turut terjejas. Kali terakhir berlakunya kekurangan RAM ialah ketika pandemik dan kemudiannya ia jatuh mendadak selepas permintaan jatuh mendadak disebabkan kemelesetan ekonomi global.