Ulasan Lenovo Legion Go 2 – Konsol Mudah Alih Paling Lengkap
Effi Saharudin
Tahun ini pasaran konsol mudah alih PC semakin meriah dengan penawaran pelbagai model baharu masing-masing ingin mengusai pasaran baharu yang dipopularkan oleh Steam Deck. Kesemua konsol muda alih ini rata-ratanya hadir dengan tubuh yang masih jatuh ke dalam kategori kecil.
Maka apabila Legion Go 2 yang akan saya pendekkan namanya menjadi LeGo 2 selepas ini, ia memecahkan templat sedia ada kerana skrin lebih besar dan mengekalkan ciri alat kawalan yang boleh ditanggalkan. Jadi adakah“lebih besar adalah lebih baik” dalam situasi ini?
Spesifikasi Dan Rekaan
| Lenovo Legion Go 2 | |
|---|---|
| Skrin | 8.8″ OLED (1920 X 1200) 16:10 ,144Hz DCl-P3, 500 nit VRR, VESA True Black 1000 |
| CPU | AMD Ryzen Z2 Extreme |
| GPU | AMD Radeon 890M 2GB |
| RAM | 32GB LPDDR5X-8000MT/s |
| Muatan Dalaman | 1TB PCIe Gen4 |
| Sistem Operasi | Windows 11 Home 64 |
| I/O | 2x USB4 (DisplayPort 2.0) 1x 3.5MM Audio 1x pembaca kad microSD |
| Bateri | 74WHr (4 Sel) Pengecasan 65W |
| SIM/Telefoni | Tiada |
| WiFi | WiFi 6E |
| Bicu Audio | Ya |
| Kalis Air | Tiada |
| Sistem Imbasan | Cap jari |
| Harga Jualan | RM4739 (32/512 GB) RAM 7500 MT/s RM5279 (32/512 GB) RM5399 (32/ 1000 GB) |
Legion Go 2 menggunakan skrin jenis OLED bersaiz 8.8″ dengan resolusi FHD+ serta bernisbah 16:10. Panel OLED ini juga menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz lengkap dengan VRR serta boleh mengesan sehingga 10 jari apabila disentuh. Dengan skrin OLED kandungan hitam adalah legap dan ini juga akan mengurangkan penggunaan bateri berbanding panel LCD. Bezel walaupun agak tebal adalah sekata di keempat-empat sisi.

Ini berbeza dengan Legion Go S, ROG Ally, dan ROG Xbox Ally yang mempunyai bezel atas serta bawah lebih tebal. Nisbah 16:10 juga adalah paparan lebih besar berbanding 16:9 seperti konsol mudah alih lain.
Seperti LeGo 1, LeGo 2 kembali dengan dua alat kawalan sisi yang boleh ditanggalkan seakan sebuah Nintendo Switch 2. Konfigurasi butang adalah sama seperti alat kawalan X Box dengan 2 lagi butang tambahan di sebelah kiri dan 4 lagi pada bahagian kanan. Dua tombok kawalan analog disertakan lengkap dengan sistem lampu RGB yang boleh diubah warnanya mengikut kehendak pengguna.

Alat kawalan kanan ini juga boleh berubah menjadi tetikus menegak masa terdapat sensor laser di bawah dan satu roda skrol. Jika anda tidak mahu menggunakan tetikus, sebuah pada sesentuh kecil berbentuk empat segi diletakkan di alat kawalan kanan sama seperti pada sebuah Steam Deck.
Dengan ini pemilik LeGo 2 tidak perlu berbelanja lebih apabila menggunakan LeGo 2 sebagai sebuah komputer yang disambungkan kepada TV atau monitor. Tidak perlu membeli alat kawalan tambahan kerana semuanya telah tersedia. Ini menjadikan LeGo 2 unik apabila dibandingkan dengan konsol mudah alih PC lain di pasaran sekarang.

Port sambungan seperti USB-C dan lubang audio audio 3.5mm diletakkan di bahagian atas konsol ini dan hanya slot untuk kad microSD dan port pengecasan USB-C sekunder terletak di bahagian bawah konsol. Tiada port HDMI atau DP disertakan dan ini bermakna sebuah dermaga atau penyesuai perlu dibeli jika LeGo 2 ingin disambungkan kepada sebuah monitor sekunder.
Kesemua butang yang ada pada Legion Go S ini sedap untuk ditekan dan responsif. Stik analog ini sudah hadir dengan ciri hall effect untuk mengurangkan risiko terjadinya stick drift. Sistem haptik yang disertakan untuk memberikan pengalaman imersif seperti alat kawalan konsol Xbox dan PS. Ciri yang saya tidak sangka ialah terdapat juga kesan haptik pada pad sesentuh.

Di Malaysia, Legion Go 2 ditawarkan dengan pilihan AMD Ryzen Z2 atau Ryzen Z2 Extreme, memori 32GB LPDDR5X pada 8000MHz dan storan sehingga 1TB. Model juga hanya dilengkapi sistem operasi Windows 11 sahaja pada ketika ini dengan versi Steam OS belum lagi di Malaysia walaupun telah diumumkan di CES 2026 beberapa minggu yang lalu.

Pengalaman Penggunaan
Legion Go 2 ialah konsol mudah alih paling berkuasa di pasaran maka ia hadir dengan beberapa kaveat. Pertama sekali ia bukan pengganti PC desktop atau komputer riba gaming Legion dengan kad grafik siri NVIDIA RTX 5000. Ia berdiri tenguh di tengah-tengah antara PC berkuasa dan sebuah konsol.

Saya tidak akan berbohong mengatakan ia mampu memainkan permainan AAA baharu pada tetapan paling tinggi. Ia hanya cukup berkuasa menjalankan permainan AAA pada tetapan sederhana pada tetapan FHD 1080p dalam mod bateri dan kemudian pada tetapan 144Hz dengan FSR dalam mod disambungkan kepada sebuah palam kuasa.

Starfield, Call of Duty Black Ops 7, dan Assassin’s Creed Shadow antara yang diuji dengan ia berjalan lancar pada tetapan sederhana. Harus diakui tetapan bayang-bayang, pantulan ray tracing dan kualiti tekstur perlu direndahkan untuk mencapai tahap 60FPS. Saya jenis yang faham limitasi konsol mudah alih dan pada skrin 8.8″ kekurangan pada tetapan lebih rendah ini bukanlah masalah besar.

Keseronokan maksimum ialah apabila memainkan permainan lama seperti Fallout New Vegas, Crazy Taxi, Command and Conquer Red Alert dan GTA San Andreas. Semua permainan ini berjalan sangat lancar. Lebih lancar berbanding PC terakhir yang saya miliki 12 tahun lalu. LeGo 2 juga adalah konsol yang mantap untuk peminat emulator. Semua emulator untuk konsol klasik NES, MegaDrive, PS2 dan banyak lagi tidak mempunyai isu dijalankan pada LeGo 2 yang lebih berkuasa berbanding konsol asal.
Saya dapat menikmati permainan lama yang telah diharamkan seperti Manhunt atau tidak lagi ditawarkan seperti Mercenaries. Permainan super klasik seperti Ace Combat 4 dan Smackdown Here Comes The Pain juga boleh dijalankan tanpa saya perlu memasang semua konsol PS2 di rumah. Saya jadikan LeGo 2 sebuah “pintu suka hati” Doraemon untuk menikmati permainan yang memberikan memori paling menggembirakan semasa saya masih mudah remaja.

Setakat ini saya hanya menceritakan perkara yang positif sahaja tetapi sisi gelap LeGo 2 perlu disentuh juga dan ia adalah sistem operasi Windows 11 yang digunakan. Windows 11 ialah sistem operasi yang paling tidak stabil untuk sebuah konsol mudah alih. Selepas boot up, LeGo 2 memerlukan beberapa minit untuk melancarkan launcher Legion Space yang merupakan hab untuk semua stor yang dipasang dan melancarkan permainan yang dipasang terus secara setempat.
Model yang diulas dilengkapi Ryzen Z2 Extreme dan 32GB RAM yang adalah paling mercu tetapi Windows 11 membuatkan seperti saya menggunakan sebuah PC Intel Core i3 dengan 8GB RAM. Pengalaman yang tidak lancar membuatkan sesi permainan menjadi sedikit mengecewakan. Alternatifnya ialah memasang sendiri SteamOS dan Bazzite dengan kedua-duanya disokong secara rasmi pada LeGO 2.

Audio
Kualiti audio adalah baik dan lantang walaupun speaker menembak ke atas. Ini adalah agak aneh kerana pada Legion Go S audio lebih memuaskan dapat dinikmati kerana kedua-dua speaker menembak ke hadapan. Pada tetapan tertinggi ia sangat lantang sehingga mengganggu orang sekeliling. Saya gembira terdapat sokongan bluetooth dan bicu audio 3.5mm membolehkan fon kepala dipakai ketika sesi permainan lewat malam sebelum tidur. Isteri tidak mengeluh bunyi bising mengganggu beliau yang ingin tidur.

Bateri
Bateri pada Legion Go2 adalah sebesar 74WHr (4 Sel) dengan pengecasan 65W menerusi port USB-C. Bateri mampu bertahan sekitar 90 minit pada tetapan CPU, grafik, resolusi dan kipas tertinggi. Ini adalah perlu untuk permainan AAA moden seperti COD Black Ops 7 dan Assassin Creed Shadows.

Tempoh permainan lebih 2 jam boleh dinikmati jika resolusi direndahkan ke FHD, kadar segar semula 60Hz dan prestasi CPU ditetapkan ke mod pintar. Kedua-dua hayat bateri ini adalah tidak membanggakan tetapi setanding dengan pengalaman kami mengulas Legion Go S dan ROG Ally sebelum ini.
Bateri boleh bertahan hampir 4 jam jika kami hanya menjalankan permainan menggunakan perisian emulator seperti PCSX2 dan Dolphin. Permainan PlayStation 2, PlayStation dan GameCube boleh dimainkan pada tetapan tertinggi tanpa perlu risau bateri habis terlalu pantas. Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 90 minit bergantung pada suhu yang saya rasakan adalah cukup pantas.
Apa Dalam Kotak?
- Lenovo Legion Go 2.
- Plat bawah untuk tetikus alat kawalan kanan.
- Plat sisi untuk alat kawalan kanan dalam mod tetikus.
- Beg simpanan.
- Pengecas 65W.
- Manual Pengguna.

Kesimpulan
Lenovo Legion Go 2 ialah konsol mudah alih Windows paling berkuasa dan paling lengkap di pasaran. Tiada kompromi pada skrin yang besar, resolusi tinggi dan dari jenis OLED 144Hz. Model dengan Ryzen Z2 Extreme yang diulas cemerlang dalam menjalankan permainan moden, klasik dan emulator konsol lama pada tetapan yang lancar dibantu oleh sistem FSR. Kekuatan terletak pada alat kawalan yang selesa, responsif dan adaptif boleh ditanggalkan serta berubah menjadi tetikus apabila

Kelemahan ialah hayat bateri yang terhad apabila memainkan permainan pada tetapan tinggi dan pengalaman penggunaan Windows 11 yang mempunyai pelbagai masalah. Ini bukan salah Lenovo tetapi salah Microsoft. Jika anda inginkan bateri lebih baik terdapat pilihan memasang SteamOS atau Bazzite yang lebih mesra dengan mod konsol dan penjimatan penggunaan bateri. Isu hanyalah tidak semua permainan disokong pada dua sistem operasi alternatif.
Dengan harga jualan bermula RM5,069 (AMD Ryzen Z2) dan RM5,529 (AMD Ryzen Z2 Extreme) sebuah ia bukan konsol mampu milik. Lebih mahal berbanding ROG Xbox Ally, MSI Claw atau Switch 2. Malahan lebih mahal berbanding konsol PS5 Pro. Maka saya rasakan Lenovo Legion Go 2 ini walaupun mantap bukanlah untuk semua. Ia menyasarkan insan seperti saya yang sudah meninggalkan dunia PC Gaming dan ingin menikmati permainan lama pada tetapan tinggi serta menjalankan semua jenis emulator pada satu peranti yang sangat mudah alih.
PRO
- Skrin terbesar, resolusi, OLED dan 144Hz
- Rekaan ergonomik dan sedap dipegang
- Prestasi terbaik bagi sebuah konsol mudah alih PC.
- Alat kawalan sangat adaptif boleh ditanggalkan.
KONTRA
- Hayat bateri yang pendek.
- Windows 11 memerlukan kesabaran kerana kurang lancar.
- Harga jualan kurang mampu milik.