Oppo Reno15 Pro, Reno15 Dan Reno15F Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM1499
Amy Maizuraa
Oppo hari ini melancarkan peranti terbaharu di Malaysia melalui siri Reno15. Tiga model berbeza ditawarkan dengan spesifikasi perkakasan dan sasaran pengguna masing-masing.

Oppo Reno15 Pro hadir dengan skrin 6.32″ AMOLED FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ia dijana oleh cip MediaTek Dimensity 8450 bersama 12GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman sehingga 512GB UFS 3.1. Selain itu, peranti ini dilengkapi bateri 6200mAh dengan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC.
Dari segi kamera, peranti ini menggabungkan sensor 50MP sudut lebar, 200MP lebar (utama) dan 50MP telefoto dengan OIS di bahagian belakang manakala kamera hadapan beresolusi 50MP. Kedua-dua kamera turut menyokong rakaman video 4K60FPS dengan penstabilan terbina. Sebagai pelengkap, ia turut menyokong pengimbas cap jari dalam skrin, imbasan wajah dan NFC serta menjalankan ColorOS16.

Oppo Reno15 hadir dengan skrin 6.59″ AMOLED FHD+ 120Hz. Ia dikuasai cip Snapdragon 7 Gen 4 dengan pilihan memori 12GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman 512GB UFS 3.1. Sistem kamera utama terdiri daripada 8MP ultra-lebar, 50MP utama dan 50MP telefoto dengan OIS manakala kamera swafoto beresolusi 50MP. Peranti ini menggunakan bateri 6500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC.

Oppo Reno15F pula hadir dengan skrin 6.57″ AMOLED FHD+ (2372 × 1080 piksel) berkadar segar semula 120Hz. Ia dijana cip Snapdragon 6 Gen 1 bersama memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Peranti juga dilengkapi bateri 7000mAh dengan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC. Sistem kamera utama terdiri daripada 8MP ultra-lebar, 50MP utama dengan OIS dan 2MP makro manakala kamera swafoto beresolusi 50MP.



Untuk harga, Reno15 Pro dijual pada RM2999 (12+512GB). Seterusnya, model Reno15 ditawarkan pada harga RM1,999 (12+256GB) dan RM2,399 (12+512GB). Sementara itu, Reno15F boleh didapati bermula RM1499 (12+256GB) dan RM1599 (12+512GB).

Kesemua model kini sudah sedia untuk dipratempah dengan tawaran hadiah menarik. Pembelian Reno15 Pro dan Reno15 turut membolehkan pelanggan menambah sebanyak RM99 untuk mendapatkan seutas Oppo Watch S yang harga asalnya RM799.