Meta Ray-Ban Display Kini Mempunyai Ciri Menaip Dengan EMR dan Teleprompter
Effi Saharudin
Meta Ray-Ban Display dikemaskini dengan tiga ciri baharu bagi menjadikannya cermin mata pintar paling berguna di pasaran. Ciri pertama yang diumumkan Meta ialah menaip menggunakan gelang tangan EMR Meta Neural Band.
Pemilik Meta Ray-Ban Display boleh menaip dengan menggerakkan satu jari di atas mana-mana permukaan rata. Sokongan diberikan dalam aplikasi WhatsApp dan Messenger dengan bahasa yang disokong adalah Inggeris sahaja pada waktu ini.

Ciri kedua ialah teleprompter membolehkan teks panjang untuk skrip dipaparkan pada skrin terbina Meta Ray-Ban Display. Kelajuan teleprompter bergerak dikawal menggunakan Meta Neural Band. Teks boleh diimport daripada aplikasi notes, Google Docs, dan Meta AI.
Akhir sekali sokongan peta navigasi ditambah untuk bandar Denver, Las Vegas, Portland, dan Salt Lake City. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 32 bandar disokong oleh sistem navigasi peranti.
Meta turut mengumumkan jualan Meta Ray-Ban Display ke UK, Perancis, Itali, dan Kanada terpaksa ditangguhkan kerana permintaan yang tinggi tetapi jumlah inventori yang terhad. Tempoh menanti untuk Meta Ray-Ban Display di Amerika Syarikat sudahpun penuh sepanjang 2026. Tarikh baharu pelancaran ke empat negara ini masih belum diketahui.