Matthew McConaughey Failkan Tanda Dagang Ke Atas Diri Sendiri Bagi Mengelakkan Diklon AI
Effi Saharudin
Matthew McConaughey ialah pelakon ikonik dalam filem seperti Interstellar, Dallas Buyer’s Club dan Dazed and Confused. Lakonan beliau yang bersahaja menjadi bahan ajukan pelawak dengan frasa “alright alright alright” yang diucapkan oleh beliau dikenali semua peminat filem Hollywood.
Dengan kecerdasan buatan (AI) generatif digunakan secara meluas dalam perisian seperti Sora, McConaughey telah memfailkan tanda dagang ke atas diri sendiri bagi memastikan diri beliau tidak akan diklon tanpa kebenaran menggunakan AI.

Lapan tanda dagang yang diterima adalah dalam bentuk frasa yang sering diucapkan, gaya suara, gaya pertuturan dan beberapa klip video diri beliau sendiri. Tindakan McConaughey ini mungkin yang terawal dilakukan seorang selebriti bagi melindungi hak imej peribadi dalam dunia AI yang berbeza dengan undang-undang hak cipta yang diwartakan sebelum era AI.
Walaupun tanda dagang telah difailkan, McConaughey dan Michael Caine bersetuju membenarkan suara mereka digunakan untuk menjana audio menerusi sistem kecerdasan buatan (AI) generatif ElevenLabs tahun lalu. Dalam kes McConaughey, teknologi ElevenLabs digunakan bagi menjana audio bahasa Sepanyol untuk buletin Lyrics of Livin’ yang diterbitkan beliau.
[sumber] Wall Street Journal [/sumber]