Huawei Watch Ultimate Design Dijual Di Malaysia Pada Harga RM13,999
Amy Maizuraa
Huawei hari ini turut memperkenalkan Watch Ultimate Design baharu di Malaysia. Daripada namanya sahaja sudah dapat dijangka apa yang ingin ditawarkan oleh mereka. Tentu sekali, ia menekankan aspek reka bentuk mewah yang menjadi tarikan utama.



Huawei Watch Ultimate Design sesuai untuk pergelangan tangan bersaiz antara 140 hingga 210 mm. Ia menggunakan paparan AMOLED LTPO 2.0 1.5 inci beresolusi 466 × 466 piksel serta kecerahan puncak mencapai 3,500 nits. Selain itu, bahagian hadapan jam diperbuat daripada Purple Ceramic Bezel dengan 18K Gold manakala bahagian belakang pula menggunakan nanocrystal ceramic.


Jam ini juga dilengkapi dengan tiga butang kawalan iaitu butang kiri atas, butang kanan atas berbentuk crown yang boleh diputar serta butang kanan bawah. Sementara itu, tali jam ditawarkan dalam rekaan titanium berwarna ungu dan emas, dan turut disertakan tali fluoroelastomer tambahan dalam dua saiz berbeza yang disediakan di dalam kotak pembelian.


Jam tangan ini dilengkapi dengan pelbagai sensor termasuk accelerometer, gyroscope, magnetometer, optical heart rate, barometer, ECG, depth sensor dan X-TAP sensor. Selain itu, ia berfungsi dengan baik pada suhu antara 0°C hingga 35°C di samping boleh digunakan untuk menyelam pada suhu 0°C hingga 38°C serta menyokong panggilan eSIM Cellular Calling. Lebih menarik lagi, ia menawarkan kemampuan menyelam sehingga 150meter dan menyokong komunikasi bawah air berasaskan sonar.
Dari segi bateri pula, jam tangan ini mampu bertahan sehingga 4.5 hari untuk penggunaan biasa apabila dipadankan dengan telefon Android, atau 3 hari jika fungsi Always-On Display (AOD) diaktifkan. Apabila dipadankan dengan iPhone, ia boleh bertahan sehingga 3.5 hari untuk penggunaan biasa, atau 2.5 hari dengan AOD diaktifkan.

Bagi yang berminat, Huawei Watch Ultimate Design dijual di Malaysia pada harga RM13,999. Pembelian ini turut disertakan dengan hadiah percuma bernilai RM2,192 termasuk langganan percuma selama tiga bulan untuk Huawei Health+ serta keahlian eksklusif.