Blue Origin TeraWave Tawarkan Internet Satelit Dengan Kelajuan 6 Tbps
Effi Saharudin
Penghujung tahu lalu, Amazon Leo dilancarkan bagi memberikan persaingan kepada Starlink. Perkhidmatan internet satelit LEO ini menawarkan kelajuan muat turun sehingga 1Gbps. Hari ini, Blue Origin melancarkan pula TeraWave dengan ia mampu menawarkan sambungan internet satelit dengan kelajuan muat turun dan naik sehingga 6 Tbps.

Kelajuan tinggi ini ditawarkan kerana TeraWave menyasarkan pelanggan perniagaan, pusat data, dan kerajaan. Sebanyak 5,408 satelit digunakan oleh TeraWave dalam rangkaian mereka dengan 5,280 satelit orbit bumi rendah (LEO) dan 128 satelit orbit bumi sederhana (MEO). Internet pantas hanya ditawarkan jika disambungkan kepada satelit MEO dengan satelit LEO hanya menawarkan kelajuan muat turun dan naik sehingga 144 Gbps.
TeraWave ditawarkan kepada pelanggan seluruh dunia yang memerlukan sambungan internet ultra pantas walaupun ketika berada di lokasi terpencil atau luar bandar. Rangkaian satelit TeraWave akan dilancarkan pada Q4 2027.