U Mobile Memperkenalkan Enterprise Innovation Platform Sebagai Pusat Pembangunan Teknologi Digital
Nazrin
Terma “sandbox” ataupun kotak pasir lazimnya digunakan dalam industri IT sebagai satu ruang yang digunakan oleh pembangun dan pengaturcara untuk membangunkan dan menguji fungsi atau ciri-ciri baru sebelum ia diperkenalkan secara umum.
Dan itulah apa yang diperkenalkan oleh U Mobile hari ini, sebuah hab pembangunan sandbox yang dikenali sebagai Enterprise Innovation Platform yang membolehkan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk membangunkan dan menguji teknologi baru yang menggunakan infrastruktur 5G-A dan sambungan ULTRA 5G yang dibangunkan oleh U Mobile.

Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran agnostik untuk syarikat enterprise, perniagaan kecil dan sederhana, syarikat pemula, pihak akademik dan agensi sektor awam untuk membangun dan mengkomersialkan kes penggunaan 5G-A, bukti konsep dan projek rintis mereka.

Pihak U Mobile juga memahami bahawa pembangunan teknologi baru juga memerlukan kepakaran daripada industri IT dan teknologi sedia ada, jadi mereka telah bekerjasama dengan lapan rakan teknologi, termasuklah Amazon Web Services, Huawei Malaysia, Palo Alto Networks, Qualcomm, Braintree Technologies, China Mobile International, Meraque Group dan ZTE Malaysia.

Untuk ini, U Mobile juga akan membangunkan hab EIP yang terletak di Subang High Tech Park pada bulan Julai 2026 dan akan menerapkan konsep Develop, Test dan Demonstrate.

Hab EIP ini akan menampilkan kotak pasir bersepadu dengan akses 5G-A dan rangkaian awan, makmal peranti IoT, zon rangkaian persendirian dan zon demo secara langsung, termasuklah alatan seperti simulator penghirisan rangkaian, persekitaran berkembar digital dan kit alat AR/VR bagi memastikan penyelesaian inovasi atau kes ujian disahkan dan boleh digunakan dalam persekitaran dunia sebenar.
Sekiranya syarikat anda berminat untuk menggunakan infrastruktur dan penawaran hab EIP ini, anda boleh mendaftar minat di laman web U Mobile Enterprise Innovation Hub.