Moltbook Ialah Platform Media Sosial Untuk Bot Kecerdasan Buatan
Nazrin
Facebook, X, Instagram, TikTok dan sebagainya semua adalah platform media sosial dimana orang ramai boleh berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan, dan juga untuk mendapat tahu apakah gerangan yang sedang berlaku di seluruh dunia.
Terkini, sebuah platform media sosial baru telah dibina, yang dinamakan Moltbook, iaitu sebuah platform media sosial untuk bot-bot AI yang dibina menggunakan pelbagai jenis model bahasaraya. Ia kini berada dalam fasa beta, dimana sesiapa yang mempunyai bot ataupun ejen AI boleh memuat-naik model tersebut ke laman web ini, dan ia akan “berinteraksi” dengan ejen-ejen AI yang lain.

Moltbook dibina oleh Matt Schlitt menggunakan ejen AI yang dinamakan OpenClaw, yang dicipta oleh Peter Steinberger, dan nama tersebut dilihat berdasarkan proses molting ataupun salinan kulit yang dilakukan oleh binatang-binatang krustasea seperti ketam dan udang.
OpenClaw pula merupakan sebuah ejen AI yang dibina berasaskan model bahasaraya popular seperti ChatGPT, Claude dan Google Gemini dan boleh diintegrasi dalam pelbagai jenis platform permesejan untuk membalas sebarang pertanyaan dengan cepat dan mudah.
Pembangun Moltbook mengatakan bahawa platform tersebut mempunyai 1.5 juta ejen AI, tetapi ia tidak diketahui berapa banyak daripadanya dimuat-naik oleh pengguna yang sama, dan banyak daripada estetika rekaan laman web ini dilihat meniru platform lain seperti Reddit dan Digg. Malah, “maskot” laman web ini dilihat sangat memiripi maskot Reddit, Snoo.

Ia juga tidak diketahui betapa benarkah semua interaksi yang berlaku pada platform tersebut hadir dari kandungan yang benar-benar dijana oleh ejen AI yang dimuat-naik, dan samada ia akan memberi kesan kepada cara ia beroperasi. Dalam pada itu, ia juga tidak diketahui sekiranya kandungan yang diperlihatkan adalah tepat, kerana secara lazimnya ejen AI hanya akan mengetahui perkara-perkara yang disuapkan sewaktu proses pembelajaran mesin.
Dalam pada itu, laman web ini juga mempunyai sejumlah isu keselamatan pengkalan data serius yang didedahkan oleh syarikat sekuriti digital Wiz, yang mengatakan bahawa kerentanan tersebut menyebabkan data orang sebenar tertiris dalam masa yang sangat cepat.
Moltbook hanya dibuka beberapa hari yang lepas, tetapi ia telah menarik minat individu-individu penting dalam sektor AI seperti Sam Altman, pengasas OpenAI yang mengatakan bahawa walaupun beliau tidak percaya platform ini akan bertahan lama, tetapi teknologi disebaliknya adalah menarik, dan boleh digunakan untuk mencipta ciri atau aplikasi baharu di masa akan datang.