Alienware Area 51 Dikemaskini CPU AMD Ryzen 7 9850X3D Dengan Harga Mencecah RM60 Ribu
Nazrin
Siri komputer gaming Alienware merupakan penawaran gaming premium oleh syarikat pengeluar komputer Dell, dan secara lazimnya hadir dengan spesifikasi yang berkuasa. Terkini, komputer desktop gaming terbaru mereka, Alienware Area 51 telah dikemaskini dengan penawaran cip pemprosesan terbaru daripada AMD, iaitu AMD Ryzen 7 9850X3D.
Alienware Area 51 hadir dengan rekaan kemas dengan sisi dengan sisi lembut dan warna kelabu yang cukup minimalis. Komputer ini juga hadir dengan panel sisi menggunakan kaca terbaja, membolehkan pengguna untuk melihat komponen-komponen didalamnya.

Dari segi spesifikasi CPU, cip pemprosesan AMD yang diperkatakan adalah satu-satunya komponen tetap. Ia boleh dipadankan dengan pilihan memori 32GB DDR5 ataupun 64GB dan pilihan storan minima 1TB sehinggalah 10TB secara maksima.
Untuk komponen GPU, pilihan asas ialah sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti, yang boleh ditukar dengan NVIDIA GeForce RTX 5080 ataupun RTX 5090 bergantung kepada komponen yang dimahukan.
Dari segi palam I/O pula, komputer ini mempunyai dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB 3.2 Type-C dua palam audio, satu untuk fon kepala dan satu untuk mikrofon. Di bahagian belakang, terdapat lebih banyak palam, untuk pelbagai aksesori yang boleh disambungkan melalui sambungan USB dan lain-lain.

Bergantung kepada spesifikasi yang dipilih, Alienware Area 51 hadir dengan tanda harga permulaan RM34,269, dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen 7 9850X3D, 32GB memori DDR5, storan SSD 1TB dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti.
Untuk spesifikasi paling berkuasa, dengan 64GB memori DDR5, SSD bersaiz 10TB dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090, harga tersebut meningkat ke RM60,724. Komputer ini boleh dibeli melalui kedai atas talian Dell Malaysia.