Krew Artemis II Adalah Pertama Dalam Sejarah NASA Dibenarkan Bawa Telefon Pintar Peribadi
Effi Saharudin
Krew Misi Artemis II yang akan mengelilingi bulan akan menjadi yang pertama dalam sejarah NASA dibenarkan membawa telefon pintar peribadi. Kelonggaran ini diberikan oleh Pentadbir NASA, Jared Isaacman selepas mengambil kira gambar dan video peribadi yang boleh diambil oleh 4 krew Artemis II dalam misi yang mengambil masa 10 hari.

Sebelum ini semua kelengkapan yang ingin dibawa NASA ke angkasa lepas perlu melepasi pelbagai piawaian dan ujian yang ketat. Setiap kilogram kargo yang dibawa pula memerlukan 20 kilogram bahan ditambah. Proses pensijilan kelengkapan mengambil masa yang lama serta kos yang tinggi.
Larangan membawa telefon peribadi ke angkasa lepas oleh krew NASA menyebabkan kelengkapan fotografi yang diluluskan untuk misi Artemis ialah kamera DSLR Nikon Z9 tahun 2016 dan GoPro yang juga sudah berusia sedekad.
Misi Artemis II dijadualkan dilancarkan hujung minggu ini tetapi telah ditangguhkan ke bulan Mac selepas berlaku kebocoran bahan api ketika ujian prapelancaran dilakukan oleh NASA minggu ini.
Hanya NASA mengenakan larangan membawa telefon pintar peribadi. Krew misi swasta Polaris Dawn yang dilancarkan oleh SpaceX merakam memori mereka menggunakan iPhone pada tahun 2024. Misi Polaris Dawn disertai sendiri oleh Jared Isaacman yang menjadi angkasawan swasta pertama melakukan aktiviti EVA. Pelancong angkasa Blue Origin turut dibenarkan membawa telefon pintar peribadi untuk berkongsi rakaman terus ke media sosial bagi mempromosikannya.