Model Paling Premium Intel “Arrow Lake Refresh” Dibatalkan – Akan Memfokuskan Dua Model Sahaja
Nazrin
Beberapa bulan lalu, kami ada melaporkan bahawa kemaskini siri cip pemprosesan Intel “Arrow Lake Refresh” akan memperlihatkan tiga buah model cip pemprosesan, termasuklah Intel Core Ultra 9 290K Plus, Intel Core Ultra 7 270K Plus dan Intel Core Ultra 5 250K Plus.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa salah satu model dalam siri kemaskini ini, iaitu Intel Core Ultra 9 290K akan dibatalkan pengeluarannya, dimana Intel akan memfokuskan terhadap dua model yang lain. Ia dilaporkan bahawa model paling premium tersebut dibatalkan kerana ia hadir dengan spesifikasi teras yang sama dengan Intel Core Ultra 7 270K Plus (8 teras Performance, 16 teras Efficiency), tetapi dengan kelajuan pemprosesan yang lebih tinggi.

Oleh kerana ini, Intel mungkin memikirkan bahawa ia lebih berbaloi untuk hanya menghasilkan cip Intel Core Ultra 7 270K Plus dan membenarkan pengguna untuk melewahjam cip pemprosesan tersebut ke kelajuan yang lebih tinggi.
Ini cukup menarik kerana cip tersebut memperlihatkan prestasi yang agak mengagumkan walaupun apabila dibandingkan dengan cip Intel Arrow Lake sebelumnya.
Perkara ini juga dilihat tidak akan mengacau pengeluaran cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 290HX untuk komputer riba gaming yang juga akan dilancarkan kelak.
[sumber]VideoCardz[/sumber]