Spesifikasi Ayaneo Pocket Play Didedahkan – MediaTek Dimensity 9300, Bateri 5000mAH, Android 15
Nazrin
Sebelum ini kami ada melaporkan tentang projek biayasama Kickstarter terbaru dari jenama pengeluar peranti gaming Ayaneo, iaitu peranti pintar gaming Ayaneo Pocket Play. Terkini, mereka telah memperkenalkan laman web produk untuk memperlihatkan spesifikasi tambahan peranti pintar tersebut.
Ayaneo Pocket Play akan dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9300, tetapi spesifikasi memori dan storan belum disahkan lagi setakat ini. Walaupun begitu, kita juga tahu bahawa peranti pintar ini akan hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 6.8 inci dengan resolusi 2,400 x 1,080 dengan kadar segar semula sepantas 165Hz dan nilai kecerahan setinggi 430 nits.

Seperti yang kami katakan sebelum ini, ia juga hadir dengan rekaan rangka melungsur yang memperlihatkan kayu ria dan butang fizikal permainan dibawahnya. Alat kawalan ini juga merumahkan motor linear 0815 X-axis yang memberi empat tahap getaran haptik yang membantu memberi pengalaman gaming lebih mendalam.

Peranti ini akan menggunakan sistem operasi Android 15, dan hadir dengan bateri 5000mAH yang sepatutnya memberi peranti ini jangka hayat penggunaan beberapa jam secara berterusan. Spesifikasi lain termasuklah sokongan untuk storan tambahan melalui kad MicroSD, sesuatu yang jarang dilihat pada peranti-peranti pintar moden sekarang.

Dari segi sokongan input dan output, Ayaneo Pocket Play juga merumahkan palam USB 3.2 Type-C dengan sokongan sambungan ke paparan melalui sokongan DisplayPort 1.4 dan menyokong sambungan WiFi pantas (kebarangkalian adalah WiFi7) dan Bluetooth 5.2.

Seperti semua peranti pintar lain, ia juga akan hadir dengan kamera di bahagian belakang dan belakang, dimana modul kamera belakang hadir dengan sistem dwi-kamera yang terdiri daripada sensor 50MP untuk kamera utama dan 15MP untuk kamera lebar. Kamera swafoto pula hadir dengan sensor 5MP.

Ayaneo Pocket Play juga akan hadir dalam empat pilihan warna, iaitu Silver White, Void Black, Origin Grey dan Deep Crimson yang dilihat sesuai dengan estetika minimalis yang cuba diketengahkan oleh mereka.

Buat masa ini, Ayaneo masih belum memberi kata putus tentang bilakah projek ini akan mula diaktifkan. Ia sepatutnya dimulakan pada pertengahan Januari ini, tetapi telah ditunda sehingga sekarang tanpa sebarang kata putus berkenaan tanda harga dan tarikh pelancaran ataupun jualan.