Sony WF-1000XM6 Dilancarkan – ANC Dipertingkatkan Dan Bateri Hingga 8 Jam
Amy Maizuraa
Sony telah melancarkan fon telinga nirwayar terbaharu WF-1000XM6 sebagai pengganti kepada XM5. Model ini hadir dengan beberapa peningkatan utama yang menjadikannya lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Fon telinga ini menggunakan Integrated Processor V2 dengan pemprosesan audio 32-bit, sekali gus diiklankan mampu menghasilkan bunyi yang lebih jelas. Selain itu, ia turut dilengkapi pemandu 8.4mm dengan talaan khas oleh jurutera akustik Sony bersama studio rakaman Sony Music. Turut disertakan, sokongan codec AAC, SBC, LC3, LDAC, serta teknologi DSEE Extreme yang menggunakan AI untuk menaik taraf fail audio dimampatkan.

Peningkatan besar pada Sony WF-1000XM6 terletak pada cip QN3e noise-cancelling yang diambil daripada WH-1000XM6. Cip ini mampu memberikan pembatalan hingar sehingga 25% lebih berkesan berbanding XM5, khususnya pada frekuensi pertengahan hingga tinggi.

Sistem ANC turut disokong oleh empat mikrofon pada setiap fon telinga, yang berfungsi menyesuaikan tahap pembatalan hingar secara masa nyata mengikut keadaan sekitar. Selain itu, Ambient mode dikatakan lebih semula jadi, manakala antena dalaman kini 1.5 kali lebih besar untuk memastikan sambungan lebih stabil.

Sony turut menyediakan EQ 10-band dalam aplikasi Sound Connect, di samping sokongan multipoint pairing, Bluetooth 5.3 (LE), Auracast, Fast Pair, Swift Pair, serta 360 Reality Audio dengan head tracking. Dari segi bateri, fon telinga ini mampu bertahan sehingga 8 jam penggunaan.

Semakan di laman rasmi Sony Malaysia menunjukkan harga jualan WF-1000XM6 disenaraikan pada RM1,599 namun terdapat promosi terhad pada RM1,249. Walau bagaimanapun, apabila butang pembelian ditekan, harga promosi tersebut tidak tersedia. Oleh itu, lebih baik menunggu kemas kini rasmi daripada pihak Sony sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan kekeliruan harga.