China Haramkan Kereta Dengan Sistem Skrin Sesentuh Sepenuhnya dan Stereng Jenis Yoke
Effi Saharudin
China baru sahaja mengeluarkan arahan mewajibkan sistem pintu kereta mekanikal dan tidak lagi membenarkan pemegang pintu boleh disorok bermula 1 Januari 2027 atas sebab keselamatan. Terkini Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) mengeluarkan dua arahan baharu yang akan sekali lagi mengubah landskap kenderaan yang ingin dijual di pasaran China.

Pertama sekali ialah MIIT mewajibkan sistem penting dalam kabin kenderaan dikawal menggunakan butang ataupun tombol fizikal. Penggunaan skrin sesentuh untuk sistem kawalan lampu isyarat membelok, lampu kecemasan, menukar gear dan fungsi panggilan kecemasan tidak lagi dibenarkan. Saiz setiap butang hendaklah sekurang-kurangnya 10mm x 10mm serta ia perlu memberikan maklum balas haptik atau dalam bentuk audio supaya pemandu boleh segera mengetahui ia beroperasi atau tidak.

Kedua penggunaan stereng dengan rekabentuk separuh ataupun yoke seakan kapal terbang turut diharamkan. Ini kerana dalam kajian yang dilakukan, kedua-dua jenis stereng ini meningkatkan kecederaan kepada pemandu dalam kemalangan kerana luas permukaan lebih kecil berbanding stereng bulat. Ia turut didapati menyukarkan sistem beg udara yang menyerap impak hentaman kemalangan.
Arahan baharu dikeluarkan bagi meningkatkan tahap keselamatan kenderaan yang dijual di pasaran China. Ia akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2027 serentak dengan pengharaman pemegang pintu tersorok. Kereta yang menerima kelulusan sebelum ini diberikan tempoh 13 bulan untuk mengubah kepada rekaan baharu.
[sumber] China Car News [/sumber]