Apple MacBook Dengan Cip iPhone Akan Datang Bulan Depan Dengan Pilihan Pelbagai Warna
Aman
Apple sedia diperkatakan sedang membangunkan Macbook yang dikuasakan dengan cip iPhone, sekaligus membolehkan Apple menawarkan komputer riba berkenaan pada harga lebih kompetitif. Mengikut laporan Bloomberg hari ini, Apple dikatakan mungkin perkenal variasi MacBook berkenaan pada bulan Mac 2026 ini.

MacBook baharu ini dijangka akan dikuasakan dengan cip Apple A18 Pro – cip yang pernah digunakan pada iPhone 16 Pro pada 2024 yang lepas. Membezakan komputer riba ini berbanding yang lain adalah ia bakal hadir dengan variasi sejumlah pilihan warna berbeza – berkemungkinan lebih kurang sama seperti penawaran iMac oleh Apple sebelum ini.
MacBook ini juga dikatakan mungkin menggunakan skrin bersaiz 12.9-inci, dan menggunakan kerangka berasaskan aluminium. Buat masa ini, harga jualan akhirnya tidak diketahui lagi, tetapi dijangka akan lebih kompetitif dan berharga rendah berbanding penawaran MacBook Air, yang mempunyai tanda harga bermula RM4499 di Malaysia.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan pengenalan rasmi MacBook baharu ini pada bulan hadapan.