Microsoft AI – AI Boleh Menggantikan Manusia Untuk Kerja Kolar Putih Tidak Lama Lagi
Nazrin
Kerja kolar putih secara lazimnya menggambarkan tugasan-tugasan pejabat, ataupun jenis kerja yang lebih memerlukan kapasiti pemikiran yang lebih tinggi, seperti perbankan, kewangan, pengurusan, pengajian dan sebagainya.
Baru-baru ini, CEO Microsoft AI, Mustafa Suleyman telah ditemubual oleh laman berita Financial Times dan mengatakan bahawa teknologi AI kini sudah memperlihatkan perkembangan yang cukup pesat sekali, dimana ia kini cukup bagus untuk menggantikan pelbagai tugasan manual yang sebelum ini hanya boleh dilakukan oleh manusia.
Mustafa yang juga merupakan pengasas syarikat AI DeepMind sebelum menyertai Microsoft, telah mengatakan bahawa AI dilihat boleh mula menggantikan pekerja kolar putih dalam tempoh 12-18 bulan. Kita kini berada diantara era model bahasaraya (LLM) dan kecerdasan buatan umum (AGI) dan telah menggelar nama era ini sebagai “Artificial Capable Intelligence“.

Dalam era Artificial Capable Intelligence ini, beliau mengatakan bahawa tugasan-tugasan yang memerlukan daya pemikiran yang tinggi seperti penyelidikan, pengiraan, pendidikan dan sebagainya boleh dilakukan oleh AI dengan lebih cepat.
AI mengambil-alih tugasan yang lebih ilmiah mungkin dilihat sebagai satu fasa yang tidak dapat dielakkan, setelah AI generatif dilihat mula “menghasilkan” kandungan kreatif melalui penulisan, lukisan, audio dan video yang semakin sukar untuk dibezakan dengan karya yang dihasilkan oleh manusia sebenar.
Terdapat beberapa laporan dari beberapa pihak yang menyetujui dan tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Mustafa Suleyman ini, tetapi melihat kepada perkembangan teknologi AI terkini, ia tidak mengejutkan sekiranya ia benar bahawa teknologi tersebut bukan sahaja akan menggantikan kerja-kerja kolar biru yang lebih teknikal, tetapi juga kerja kolar putih yang memerlukan kemahiran pemikiran kritis.
Dalam video temu bual tersebut, Mustafa juga mengatakan bahawa pekerjaan peringkat permulaan kelak semuanya boleh digantikan oleh AI, tetapi ia juga bermakna bahawa semua orang boleh menggunakan teknologi AI untuk membantu membangunkan idea perniagaan mereka sendiri.