Matrix of Leadership Dijual Sempena Ulang Tahun Ke-40 Transformers The Movie
Effi Saharudin
Antara filem yang paling meninggalkan impak kepada saya semasa masih di sekolah rendah ialah Transformers The Movie. Selepas filem ini ditayangkan di pawagam pada tahun 1986, jutaan peminat sir animasi ini trauma kerana babak kematian Optimus Prime. Sempena ulang tahun filem ini yang ke-40, Hasbro memulakan acara “Jelajah Meminta Maaf” kepada mereka yang trauma disebabkan kematian ketua Autobots.

Selain meminta maaf, Hasbro juga akhirnya menawarkan permainan yang saya secara peribadi inginkan sejak 1986 ialat Matrix of Leadership. Matrix of Leadership bagi mereka yang tidak mengikuti siri animasi ini ialah alat yang disimpan dalam tubuh ketua Autobots. Selepas kemangkatan Optimus Prime, ia dipegang oleh Hot Rod yang berubah nama menjadi Rodimus Prime.

Replikas Matrix of Leadership boleh dibuka dan menyala dengan warna biru seperti di dalam filem. Selain itu ia juga akan mula memainkan lagu “The Touch” oleh Stan Bush juga daripada filem ikonik ini. Ia dicas semula menggunakan kabel USB-C dan anda tidak perlu risau perlu mencari Energon Cube.
Pratempahan telah dibuka menerusi laman Hasbro dengan replika Matrix of Leadership dijual pada harga $125 (~RM 487) sebuah. Bagi yang mendambakan permainan ini sejak 1986, kini anda boleh memilikinya serta memenuhi impian menjadi seorang Prime.