China Menyekat Kandungan Anti Perkahwinan dan Anak Ketika Tahun Baru Cina
Effi Saharudin
Kerajaan China melalui Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) telah menyekat kandungan media sosial yang dianggap bermasalah ketika Tahun Baru Cina. Kandungan-kandungan yang disekat adalah yang menghasut permusuhan antara lelaki dan perempuan serta membesar-besarkan isu ketakutan untuk berkahwin dan mempunyai anak.

Kandungan sampah AI yang memaparkan konflik keluarga seperti pergaduhan ibu mertua dan menantu atau perselisihan adik-beradik semata-mata untuk menarik trafik turut disekat. Akhir sekali kandungan yang mempamerkan gaya hidup negatif seperti kekayaan secara melampau, video lucah, ganas, atau tidak logik akan menerima nasib yang sama.
Platform media sosial utama digesa menubuhkan pasukan khas dan meningkatkan pemeriksaan sepanjang cuti panjang Tahun Baru Cina. Laman yang gagal mengawal kandungan ini akan disiasat dan dihukum.
Langkah ini diambil oleh CAC bagi menentang masalah populasi yang semakin tua tetapi kadar kelahiran yang semakin berkurangan. Seperti di semua negara maju, golongan muda memilih untuk melambatkan perkahwinan atau tidak mahu memiliki anak. Disamping itu kerajaan China ingin mewujudkan suasana yang positif, aman, dan meriah sepanjang Tahun Baru Cina.