Dyson PencilWash Ialah Pencuci Lantai Bermotor Terkecil Pernah Mereka Hasilkan
Effi Saharudin
Inovasi Dyson ialah mengecilkan produk sedia ada sehingga ia menjadi seakan penyapu biasa. Ini dapat dilihat menerusi PencilVac yang adalah mesin penyedut hampas paling kecil pernah dihasilkan mereka dengan motor disumbat ke dalam tangkai pemegang yang nipis.

Teknologi PencilVac kini digunakan pula pada Dyson PencilWash yang menjadikannya pencuci lantai bermotor paling kecil pernah dihasilkan. PencilWash mencuci lantai menggunakan air dengan ia menjadi pengganti kepada pengelap lantai manual untuk kegunaan dalam rumah yang kecil sekitar 1000 kaki persegi.

Bahagian pemegang mempunyai diameter 3.8 cm dengan ia hanya seberat 2.2 kg yang lebih ringan berbanding WashG1 yang dilancarkan pada tahun 2024. Walaupun kecil, PencilWash masih mempunyai tangki takungan air bersih 295 ml dan tangki air kotor 355 ml terbina.
PencilWash boleh digunakan berterusan selama 30 minit dengan waktu pengecasan semula mengambil masa 3.5 jam. Ia dijual pada harga $349 (~ RM 1364) sebatang.