Lamborghini Lanzador Dibatalkan Kerana Tiada Permintaan Untuk EV
Effi Saharudin
Konsep Lamborghini Lanzador telah diperlihatkan pada tahun 2023 dengan dijadikan asas kepada EV pertama keluaran syarikat yang selama ini terkenal dengan kenderaan berenjin kuasa tinggi. Selepas pelancaran Lanzador ditangguh setahun ke 2029, CEO Lamborghini Stephan Winkelmann mengatakan pelancarannya kini dibatalkan keran permintaan untuknya adalah “hampir sifar” menurut laporan Sunday Times.

Pelanggan Lamborghini menurut Winkelmann masih inginkan “pengalaman beremosi” dengan kereta mereka dan oleh itu masih menghargai deruman enjin berkuasa petrol. Tanpa permintaan daripada pelanggan, Lamborghini tidak mahu membelanjakan kos tinggi menghasilkan EV yang mungkin tidak terjual. Walaupun penghasilan Lanzador dibatalkan, Lamborghini akan masih menawarkan kenderaan PHEV seperti Revuelto dan Urus.
Langkah yang diambil oleh Lamborghini ini mungkin adalah bijak selepas melihat kegagalan elektrifikasi kenderaan klasik oleh Harley Davidson, Ford, Porsche dan Volkswagen. Ford membatalkan lori F-150 Lightning kerana pelanggan sebenar model ini hanya mahukan model dengan enjin diesel dan petrol yang menawarkan jarak perjalanan lebih jauh serta lebih penting sekali dibaiki sendiri. Eksperimen Porsche dengan Taycan juga menyebabkan kerugian ratusan juta.
Dalam situasi jenama legasi gagal melakukan peralihan ke EV, Ferrari baru sahaja menunjukkan rekaan kabin EV pertama mereka yang menerima sentuhan Lovefrom yang ditubuhkan Jony Ive beberapa minggu lalu. Wujudkan permintaan untuk eFerrari atau projek ini juga akan dibatalkan selepas melihat kegagalan jenama lain?