Lagu Janaan AI Ini Di Tangga Teratas Carta iTunes Malaysia
Effi Saharudin
Adakah kecerdasan buatan bakal menguasai dunia seni Malaysia? Awal tahun ini filem yang dijana AI sepenuhnya telah memasuki panggung Malaysia dan tahun lalu ia digunakan dalam beberapa produksi filem, siri TV dan video muzik. Minggu ini lagu Cinta Tersimpul Rapi oleh Jane In Heaven berjaya mencapai tangga teratas carta iTunes Malaysia.
Ia adalah lagu saduran Cinta Tersimpul Rapi yang dipopularkan oleh Anis Suraya di dekad 90an. Lagu pada asalnya tular di TikTok selepas diterbitkan oleh Jane In Heaven sebulan yang lalu. Di media sosial ramai yang mengkritik lagu olahan semula ini tidak membayar royalti kepada penulis asal Azmeer dan Lukhman S.
Saluran YouTube Jane in Heaven mempunyai lebih 40 lagi lagu saduran janaan AI yang dipopularkan M Nasir, Aishah, Search, Sudirman dan banyak lagi dengan jutaan tontonan setakat ini. Lagu saduran Cinta Tersimpul Rapi ini sahaja sudah ditonton lebih 4.4 juta kali.
Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) telah mengeluarkan kenyataan mengatakan perlindungan hak cipta adalah hak yang dikhaskan untuk manusia sebenar sahaja. Ia turut menegaskan karya kreatif mesti berasal daripada pengalaman hidup, tenaga kerja dan kemahiran penulis lagu manusia dan bukannya dihasilkan oleh kod. Pendirian ini memastikan bahawa walaupun AI boleh meniru suara atau melodi, ia tidak boleh menuntut hak undang-undang atau ganjaran kewangan pencipta.
Garis panduan MACP ini selari dengan pandangan Pejabat Paten dan Cap Dagangan Amerika (USPTO) yang juga mengatakan sebarang karya janaan AI tidak boleh dipegang oleh sesiapa walaupun insan yang memasukkan prom kerana hak cipta hanya boleh diberikan kepada manusia.