Panasonic Juga Berhenti Mengeluarkan TV Sendiri
Effi Saharudin
Semasa membesar di dekad 80an, Jepun adalah dikenali sebagai negara yang mengeluarkan peralatan elektronik dunia. Kini semua berubah dengan Sony tidak lagi mengilangkan sendiri telefon dan TV sendiri serta memindahkan pengeluaran kepada TCL. Hari ini FlatpanelsHD melaporkan Panasonic pula menari diri daripada mengeluarkan TV mereka sendiri.

Sebaliknya pengeluaran, pemasaran, dan penjualan TV Panasonic akan diambil alih oleh Skyworth yang berpangkalan di Shenzen, China. Panasonic akan memberi kepakaran teknikal, jaminan kualiti, dan bekerjasama dalam pembangunan bersama model OLED kelas atasan. Sokongan pasca jualan masih lagi akan diuruskan oleh Panasonic.
Panasonic sebelum ini hanya mengeluarkan model TV mercu secara sendiri dengan TV kelas pertengahan dikilangkan oleh pihak ketiga sejak 2021. Langkah yang diambil selari dengan jualan TV mereka yang semakin berkurangan. Pernah suatu ketika Panasonic ialah jenama TV nombor satu dunia dipacu oleh pengenalan teknologi plasma. Pengeluar TV nombor satu dunia kini dipegang oleh Samsung.