TM Menandatangani Kontrak 3 Tahun Dengan U Mobile Sebagai Pelanggan Rangkaian 5G Kedua
Nazrin
Telekom Malaysia, salah satu syarikat pengelola infrastruktur telekomunikasi tempatan hari ini telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama U Mobile untuk menggunakan khidmat rangkaian 5G kedua yang sedang dibangunkan mereka.
Di bawah perjanjian ini, U Mobile akan menyediakan perkhidmatan MOCN (Multi Operator Core Network) 5G dari hujung ke hujung, termasuklah penyediaan rangkaian komprehensif, penyepaduan sistem yang lancar, pengaktifan, pengujian dan pengoptimasian berterusan yang membolehkan TM menawarkan sambungan 5G yang mantap, boleh diskala dan berkualiti tinggi kepada pelanggan mereka.

Ini juga bermakna bahawa TM tidak akan memperbaharui kontrak rangkaian 5G sedia ada mereka bersama dengan Digital Nasional Berhad, syarikat pengelola rangkaian 5G pertama Malaysia yang dipegang oleh Maxis, CelcomDigi dan Yes.
Dengan pengumuman ini, pihak U Mobile, melalui Ketua Pegawai Eksekutif mereka Wong Heang Tuck turut mengatakan bahawa mereka sedang menyasarkan bahawa liputan rangkaian 5G kedua tersebut akan meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia menjelang pertengahan tahun ini, dan bahawa proses tersebut sedang berjalan dengan lancar.