Siri Samsung Galaxy Buds4 Diumumkan Dengan Rekaan Baharu – Harga Bermula RM699
Amy Maizuraa
Samsung Galaxy Buds4 Pro dan Samsung Galaxy Buds4 turut diumumkan sebagai penawaran baharu dalam segmen aksesori audio mereka. Rekaan keseluruhan jelas berbeza berbanding siri Galaxy Buds3 sekali gus memberikan identiti baharu yang lebih moden.

Samsung Galaxy Buds4 Pro hadir dengan konsep fon telinga nirwayar jenis in-ear menggunakan putik telinga bertangkai serta kemasan logam yang memberi sentuhan premium. Rekaan pod pengecas turut berubah sepenuhnya. Kini ia lebih nipis dengan bentuk empat segi dan tidak lagi menyertakan lampu LED pada sisi seperti generasi sebelumnya.

Ia hadir dengan tiga mikrofon terbina serta sokongan audio 24-bit Hi-Fi dan 360 Audio dengan Direct Multi-Channel, bergantung kepada peranti Galaxy dan versi One UI. Ia turut menawarkan ANC, Adaptive EQ dan Adaptive ANC untuk pengalaman audio lebih seimbang. Tambatan pantas disediakan melalui Bluetooth 6.1 dengan sokongan Auto Switch serta pelbagai codec termasuk HiFi/SSC UHQ/AAC/SBC/LC3 dan Auracast. Lebih menarik, pengguna boleh mengaktifkan ejen AI seperti Bixby, Google Gemini dan Perplexity melalui kawalan suara sahaja.

Galaxy Buds4 Pro turut dilengkapi Voice Detect untuk meningkatkan kejelasan perbualan dengan mengenal pasti suara pengguna. Ia juga mempunyai Siren Detect yang menaikkan bunyi ambien agar amaran penting seperti siren kecemasan dapat didengar. Fungsi Head Gestures pula membolehkan pengguna menjawab atau menamatkan panggilan dengan gerakan kepala. Dari segi bateri, Buds4 Pro mampu bertahan sehingga 31 jam penggunaan.

Samsung Galaxy Buds4 ialah fon telinga jenis terbuka dengan tiga mikrofon terbina. Ia juga menyokong audio 24-bit Hi-Fi dan 360 Audio dengan Direct Multi-Channel bergantung kepada peranti Galaxy dan versi One UI. Selain itu, ia menawarkan ANC, bunyi ambien, Adaptive EQ dan Adaptive ANC. Fungsi Head Gestures turut disertakan. Dari segi bateri, Galaxy Buds4 mampu bertahan sehingga 30 jam penggunaan apabila ANC dimatikan.

Siri Samsung Galaxy Buds4 boleh dipratempah bermula 26 Februari 2026 dengan jualan umum bermula 11 Mac 2026. Harga rasmi di Malaysia bermula RM699 (Galaxy Buds4) dan RM999 (Galaxy Buds4 Pro). Sepanjang tempoh pratempahan, pembeli akan menerima tawaran eksklusif termasuk diskaun 10% apabila membeli bersama model terpilih daripada siri Galaxy S dan Z.