Micron Memperkenalkan Memori GDDR7 3GB Dengan Kelajuan 36Gb/s
Nazrin
Memori GDDR7 terbaru dilihat digunakan dalam sejumlah komponen kad grafik NVIDIA, khususnya beberapa model dalam siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000. Kad grafik GeForce RTX 5090 khususnya hadir dengan memori 24GB GDDR7.
Terkini, Micron telah mengumumkan bahawa mereka telah mula mengilangkan memori GDDR7 24Gb (3GB) secara besar-besaran, dan walaupun secara teknikalnya memori ini sudahpun ada di pasaran, memori keluaran Micron juga hadir dengan penaiktarafan dari segi sokongan kadar penghantaran data yang lebih pantas pada kelajuan 36Gb/s.
Cip memori GDDR7 3GB sedia ada hadir dengan kelajuan kira-kira 28Gbps, tetapi dengan cip terbaru ini, ia dilihat bahawa prestasi komponen-komponen pemproses grafik atau AI akan datang boleh memanfaatkan komponen ini dengan lebih baik lagi.

Sebagai contoh, kad grafik NVIDIA RTX 6000 Pro yang hadir dengan 96GB memori GDDR7 sedia ada mempunyai kelajuan penghantaran data 1.8Tb/s, tetapi jika ia menggunakan memori GDDR7 Micron yang baru, kelajuan tersebut boleh ditingkatkan ke 2.3Tb/s.
Jangkaan orang ramai ialah memori ini sepatutnya hadir untuk siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 Super yang sepatutnya diumumkan pada awal tahun ini, tetapi telah dibatalkan. Kebarangkaliannya kita akan memperlihatkan memori ini dalam iterasi kad grafik pengguna NVIDIA yang seterusnya, yang dijangka ialah NVIDIA GeForce RTX 6000 dan juga pelbagai komponen pemprosesan AI yang lain.
Selain daripada Micron, Samsung juga sudah tampil dengan pengeluaran cip memori GDDR7 3GB mereka tersendiri, yang masing-masing hadir dengan kelajuan penghantaran data sepantas 42Gb/s yang sudahpun dimanfaatkan oleh banyak pembangun komponen pusat data dan teknologi AI.
[sumber]Micron[/sumber]